Kempen World #QuranHour semakin diterima syarikat korporat

5 Mar 2026 • 8:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Program Interviu kali ini diadakan sempena penganjuran World #QuranHour 2026 bertajuk 'Bangun Malam dan Kualiti Manusia Pembina Dunia', dihoskan oleh Haizir Othman (kiri). FOTO: Mohd Halim Abdul Wahid
image is not available
Hussamuddin (kanan) ketika program Interviu sempena penganjuran World #QuranHour 2026 bertajuk 'Bangun Malam dan Kualiti Manusia Pembina Dunia' pada Khamis. ABDUL WAHID.
image is not available
Syed Zainal Abidin.

SHAH ALAM - Kempen World #QuranHour iaitu berinteraksi dengan al-Quran selama satu jam semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat serta diterima untuk dilaksanakan di syarikat korporat dan organisasi sepanjang 10 tahun penganjurannya.

Pengasas Karangkraf dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, penerimaan terhadap amalan tadabbur al-Quran nyata berhasil mengubah seseorang ke arah yang lebih positif secara berperingkat.

Katanya, itu antara sebab mengapa media perlu memainkan peranan besar dalam menyebarluaskan kempen sebegini agar impaknya dapat mentransformasikan masyarakat ke arah umat yang mementingkan al-Quran.

"Kita nak sampaikan impak. Boleh lihat tranformasi yang sedang berlaku di masjid, surau bahkan syarikat korporat.

"Kempen ini berlaku di mana-mana sahaja, syarikat korporat pun menerima tentang perlunya mereka sahut kempen ini ke dalam organisasi.

"Mereka sendiri tengok perubahan positif dan lebih tenang dalam diri pemimpin syarikat mereka.

**media[3454111]**

"Kalau transformasi ini berlaku berterusan, kita dapat melahirkan pemimpin negara, ahli politik, tokoh korporat, pengurus syarikat bahkan ketua keluarga yang lebih baik asalkan al-Quran berada dalam hati," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika program Interviu sempena penganjuran World #QuranHour 2026 bertajuk 'Bangun Malam dan Kualiti Manusia Pembina Dunia' yang disiarkan secara langsung dari Studio My #QuranTime (MQT) menerusi platform digital Sinar Harian.

World #QuranHour 2026 bakal berlangsung serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini bersamaan 21 Ramadan bermula jam 12 hingga 1 tengah hari, dengan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak sebagai lokasi perdana.

Dianjurkan oleh WUIF, acara dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris yang mana kali ini menampilkan surah al-Muzzammil sebagai panduan utama.

**media[3454112]**

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir berpandangan, berinteraksi dan mengadu kepada ALLAH SWT antara salah satu cara untuk menghilangkan stres, bertepatan intipati surah al-Muzzammil.

Tambah beliau, dari segi mental serta emosi, dirinya secara peribadi merasai ketenangan yang luar biasa dengan mengamalkan bangun malam dan awal pagi untuk menunaikan solat sebelum keluar bekerja.

Baginya, apabila seseorang itu mendahulukan ALLAH SWT dalam kehidupan tidak kira dengan menunaikan solat di masjid, rumah atau di mana-mana sahaja, segala urusan harian termasuk pekerjaan pasti berjalan lancar.

"Apabila saya amalkan, ia jadi automatik dan tak kiralah setiap rakaat solat kita buat pun, itu masa peribadi antara kita dengan pencipta.

"Tak perlu doa-doa yang sulit, kita mengadu kepada ALLAH SWT pun dah cukup. Kalau nak kata tak ada kesan janganlah putus asa, teruskan bercakap dengan-Nya.

"Lama-kelamaan kita dapat lihat kebaikannya luar biasa, cara kita kendali masalah atau melihat sesuatu perkara pun lebih tenang," ujarnya.