johardy07/08/2026 - 08:00 Oleh Muhamad Nasrullah Zamri dan Muhamad Nazrin Zamri suratpembaca@dagangnews.com Jualan semakin meningkat, tetapi keuntungan semakin mengecil. Paradoks inilah yang semakin dirasai oleh ramai usahawan dalam ekosistem e-dagang.
Walaupun ekonomi digital Malaysia terus berkembang pesat dengan nilai e-dagang mencecah RM1.23 trilion pada 2024, peningkatan transaksi tidak semestinya diterjemahkan kepada peningkatan keuntungan.
Ironinya, dalam ekonomi digital hari ini, kejayaan sesebuah perniagaan bukan lagi ditentukan oleh jumlah transaksi, sebaliknya oleh keupayaan menukar jualan kepada keuntungan yang mampan.
Platform seperti TikTok Shop telah mempercepat transformasi landskap perniagaan melalui gabungan kandungan video, siaran langsung (live streaming) dan sistem pembelian yang lancar. Platform e-dagang kini bukan sekadar saluran jualan, malah menjadi medium pemasaran, komunikasi pelanggan serta pembinaan jenama yang semakin penting kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Namun, di sebalik peluang yang ditawarkan, usahawan semakin berdepan cabaran untuk mengekalkan keuntungan. Persaingan yang sengit, peningkatan fi platform, kos pengiklanan digital serta perubahan algoritma menyebabkan margin keuntungan semakin terhakis walaupun nilai jualan terus meningkat.
Dalam konteks inilah istilah "Penjara Platform Jualan Atas Talian" digunakan sebagai metafora bagi menggambarkan kebergantungan yang berlebihan kepada satu platform sehingga setiap perubahan polisi, struktur fi atau algoritma memberi kesan langsung terhadap prestasi perniagaan.

Gambar 1 menunjukkan bagaimana produk dipromosikan melalui potongan harga, baucar, penghantaran percuma dan promosi kilat (flash sale) bagi menarik perhatian pengguna. Strategi ini sememangnya berkesan meningkatkan keterlihatan produk dan jumlah transaksi.
Namun, angka jualan yang tinggi tidak semestinya mencerminkan keuntungan sebenar kerana setiap transaksi turut disertai pelbagai kos yang tidak dapat dilihat oleh pengguna.


Di sebalik setiap transaksi yang berjaya, peniaga perlu menanggung pelbagai fi yang dikenakan oleh platform. Sebagai contoh, bagi produk yang dijual pada harga RM69, fi transaksi, komisen platform, komisen affiliate, Bonus Cashback Program dan Platform Support Fee berjumlah RM15.07.
Keadaan itu menyebabkan jumlah penyelesaian (settlement amount) yang diterima hanya RM53.93. Dengan kos produk sebanyak RM40 dan kos setiap pesanan (Cost per Order atau CPO) sebanyak RM7.70, keuntungan bersih yang tinggal hanyalah sekitar RM6.23 seunit sebelum mengambil kira kos operasi lain seperti gaji pekerja, sewaan premis, utiliti, pembungkusan dan logistik.
Contoh ini memperlihatkan bahawa peningkatan nilai jualan tidak semestinya menghasilkan keuntungan yang lebih tinggi. Sebaliknya, keuntungan semakin bergantung kepada keupayaan usahawan mengurus margin apabila sebahagian besar hasil jualan diserap oleh fi platform dan kos operasi.
Akibatnya, tidak sedikit peniaga yang mencatat jualan tinggi, tetapi masih berdepan tekanan aliran tunai serta kesukaran untuk melabur semula bagi mengembangkan perniagaan.
Margin semakin tertekan
Cabaran ini menjadi lebih ketara dalam pasaran e-dagang yang sangat kompetitif. Keupayaan pengguna membandingkan harga dalam masa beberapa saat serta persaingan dengan produk import berharga rendah mengehadkan ruang untuk menaikkan harga jualan.
Kesannya, ramai usahawan terpaksa bergantung kepada jumlah jualan yang tinggi bagi mengekalkan keuntungan, sedangkan margin bagi setiap transaksi terus mengecil.

Selain fi platform, pengiklanan digital kini menjadi antara kos utama dalam operasi e-dagang. Walaupun kempen pengiklanan masih mencatat pulangan pelaburan (Return on Investment atau ROI) yang positif, Gambar 4 menunjukkan prestasinya merosot hampir 45 peratus berbanding tempoh sebelumnya.
Keadaan ini menggambarkan bahawa kos memperoleh pelanggan semakin meningkat, sedangkan pertumbuhan jualan tidak lagi berkembang pada kadar yang sama.
Akibatnya, sebahagian besar keuntungan perlu dilaburkan semula untuk mengekalkan keterlihatan produk, sekali gus mewujudkan kitaran yang semakin sukar diputuskan, khususnya bagi PMKS yang mempunyai sumber pemasaran yang terhad.
Tekanan terhadap margin keuntungan ini bukan sahaja menjejaskan prestasi perniagaan semasa, malah mengehadkan keupayaan PMKS untuk melabur semula, berinovasi dan berkembang.
Sejajar dengan itu, OECD Economic Survey: Malaysia 2026 menegaskan bahawa peningkatan produktiviti memerlukan persekitaran perniagaan yang lebih dinamik serta dasar yang menyokong pertumbuhan firma.
Dalam konteks e-dagang, kelestarian pertumbuhan bukan sekadar bergantung pada peningkatan transaksi, tetapi juga kepada ekosistem yang membolehkan PMKS menjana keuntungan yang mencukupi untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti secara berterusan.

Cabaran peniaga tidak terhenti pada fi platform dan kos pemasaran. Risiko pemulangan barang (return order), termasuk oleh "joy buyer", turut meningkatkan kos operasi melalui penghantaran, pemeriksaan, pembungkusan semula dan pengurusan inventori. Malah, keadaan itu turut berisiko menyebabkan produk tidak lagi boleh dijual sebagai produk baharu.
Bagi PMKS yang beroperasi dengan margin keuntungan yang tipis, kos tambahan ini bukan sahaja menjejaskan aliran tunai, malah mengurangkan keupayaan untuk melabur semula dan berkembang. Digabungkan dengan persaingan harga yang sengit, tekanan tersebut menjadikan kelangsungan perniagaan semakin mencabar.
Ke arah ekosistem e-dagang yang lebih mampan
Hakikatnya, platform e-dagang telah menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi digital negara serta membuka peluang keusahawanan kepada ribuan rakyat Malaysia. Namun, kelestarian ekosistem ini bergantung pada keseimbangan antara kepentingan platform, pengguna dan peniaga.
Dalam konteks ini, istilah "Penjara Platform Jualan Atas Talian" bukan bertujuan menyalahkan mana-mana platform. Sebaliknya, ia menggambarkan risiko kebergantungan yang berlebihan kepada satu ekosistem sehingga setiap perubahan fi, polisi atau algoritma boleh memberi kesan langsung terhadap kelangsungan perniagaan.
Oleh itu, usahawan perlu mempelbagaikan saluran jualan dan memperkukuh jenama, manakala platform e-dagang, kerajaan serta pembuat dasar perlu bekerjasama mewujudkan ekosistem yang lebih telus, adil dan mampan.
Walaupun fi platform menyokong penyediaan infrastruktur digital, sistem pembayaran, perlindungan pengguna serta capaian pasaran yang lebih luas, strukturnya perlu kekal seimbang, telus dan selaras dengan keupayaan PMKS untuk berkembang.
Akhirnya, kejayaan ekonomi digital tidak seharusnya diukur berdasarkan peningkatan nilai transaksi semata-mata, tetapi juga keupayaannya melahirkan perusahaan yang berdaya tahan, berdaya saing dan mampu menjana keuntungan secara mampan demi memperkukuh produktiviti serta pertumbuhan ekonomi negara. - DagangNews.com




