amree06/08/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos — Hartalega Holdings Berhad memulakan tahun kewangan 2027 dengan prestasi positif apabila keuntungan bersih suku pertama melonjak lebih lima kali ganda, kata penganalisis.
Perkembangan itu didorong kenaikan sementara harga jualan purata (ASP) sarung tangan getah yang mengatasi peningkatan kos bahan mentah, namun margin suku berikutnya dilihat akan mula menyusut.
Kedua-dua firma penyelidikan berpandangan, kumpulan tersebut setakat ini masih lagi mempunyai banyak kelebihan dari segi kecekapan operasi, sistem automasi dan perluasan kapasiti pengeluaran.
"Hartalega merekodkan untung bersih RM70 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027 mengatasi unjuran, dipacu lonjakan ASP susulan kebimbangan gangguan bahan mentah global," kata PublicInvest.
Justeru, ia menaikkan unjuran keuntungan teras FY27 sebanyak 53% kepada RM148.5 juta kerana percaya prestasi luar biasa 1QFY27 lebih disokong faktor sementara berbanding perubahan struktur industri.
Bagaimanapun jualan merosot kepada 5.9 bilion unit dan kadar penggunaan kilang jatuh kepada 65%, dengan keuntungan akan susut apabila kesan kenaikan ASP beransur hilang pada suku-suku berikutnya.

Berdasarkan situasi itu, PublicInvest masih mengekalkan saranan 'neutral' ke atas saham Hartalega dengan harga sasaran (TP) 98 sen sesaham kerana memiliki pemangkin jangka panjang menerusi Loji 3.
"Ini bakal menambah kapasiti tahunan sebanyak 4 bilion sarung tangan, selain peningkatan automasi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja," tambah firma itu.
Sementara itu, RHB Research mengakui keputusan suku pertama adalah kukuh berbanding sebelumnya, namun berpendapat margin keuntungan kumpulan tersebut berkemungkinan sudah mencapai kemuncaknya.
Oleh itu, ia mengekalkan saranan 'jual' dan menurunkan TP kepada 89 sen daripada RM1.01 selepas menyemak turun unjuran keuntungan Hartalega pada FY28 dan FY29, walaupun meningkatkan unjuran FY27.
Menurutnya, cabaran utama selepas ini ialah kos bahan mentah masih tinggi, kenaikan tarif gas asli mulai Oktober 2026 serta kesukaran menaikkan ASP dalam keadaan persaingan harga yang lebih sengit.
"Meskipun kenaikan harga boleh dilaksanakan berikutan kapasiti terhad pengeluar China, kumpulan ini sudah menikmati premium harga, sekali gus mengehadkan ruang peningkatan harga," kata RHB Research.
Sehubungan itu, ia lebih berhati-hati kerana menjangkakan tekanan margin Hartalega kembali jatuh apabila faktor luar biasa yang menyokong prestasi suku pertama mula berakhir," katanya. - DagangNews.com






