Timbalan Pesuruhjaya Pas Perlis bebas tuduhan bersubahat mengajar tanpa tauliah

LocalPolitics
25 Nov 2026 • 1:45 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Timbalan Pesuruhjaya Pas Perlis bebas tuduhan bersubahat mengajar tanpa tauliah

KANGAR: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini melepaskan dan membebaskan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Yussaine Yahya daripada pertuduhan bersubahat mengajar tanpa tauliah.

Hakim Syarie Yusof Abd Manaf membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh di akhir pendakwaan kes berkenaan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Yussaine didakwa bersubahat menganjurkan ceramah agama dengan menjemput pendakwah bebas, Mohamad Wadi Anuar Ayub menerusi program Solat Terawih dan Sembang Santai pada 30 Mac 2023 tanpa tauliah Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 46 dibaca bersama Subseksyen 33(2) Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991.

Semasa membaca hujah penghakimannya, Yusof berkata, pihak pendakwaan tidak berjaya membuktikan secara konklusif penglibatan langsung tertuduh dalam menganjur, merancang dan menjemput penceramah bagi majlis berkenaan.

“Walaupun pesalah utama atau penceramah berkenaan sudah membuat pengakuan salah sebelum ini, ia bukan alasan untuk mensabitkan tertuduh secara automatik kerana beban pembuktian tetap terletak pada pihak pendakwaan.

“Saksi pendakwaan keempat turut mengakui tiada sebarang komunikasi antara tertuduh dan penceramah terbabit. Tanpa keterangan langsung daripada penceramah untuk mengesahkan tertuduh menjemput dan mengatur kehadirannya, elemen subahat ini hanya disandarkan pada andaian serta keterangan ikut keadaan semata-mata,” katanya.

Menurut Yusof, jawatan tertuduh sebagai mudir di premis berkenaan juga tidak pernah disahkan secara konklusif sepanjang perbicaraan bagi membuktikan kuasa kawalannya terhadap lokasi kejadian.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri mengikut Seksyen 96(f) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah serta wang jaminan dikembalikan kepada penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Mohd Husni Za’im Mohd Said dan Mohd Dzuhaili Mohd Dzakwan, manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Farhana Ideris, Siti Hajar Ahmad dan Nur Iman Nor Azmi.

Sementara itu, Yussaine ketika ditemui di luar mahkamah turut menzahirkan rasa syukur apabila kes yang berlarutan hampir empat tahun itu akhirnya selesai.

“Alhamdulillah kes selama empat tahun, hari ini telah dapat keputusan daripada mahkamah. Dan keputusan ini yang saya kira, Alhamdulillah, terbaik dan positif,” katanya. – UTUSAN

The post Timbalan Pesuruhjaya Pas Perlis bebas tuduhan bersubahat mengajar tanpa tauliah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved