Peletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada Selasa menunjukkan kerajaan MADANI mengamalkan tahap integriti yang tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan seumpama ini belum pernah berlaku dalam mana-mana pentadbiran sebelum ini.
“Beliau terus meletak jawatan dan meminta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menjalankan siasatan. Mana ada dulu tindakan sebegini? Ada tuduhan, terus berhenti dan panggil SPRM siasat, barulah kita boleh bercakap soal integriti. Dulu, jika Perdana Menteri disiasat, menantunya pula lari ke luar negara. Nak bercakap soal integriti, integriti apa itu?” katanya.
Baca juga:
Tegas beliau, semua petugas kerajaan sentiasa diingatkan supaya bertanggungjawab sekiranya terlibat dalam sebarang salah laku yang mencemarkan integriti.
“Saya pesan kepada staf saya, jika didapati bersalah, mereka perlu menanggung padahnya – siasatan dijalankan secara menyeluruh dan dibawa ke mahkamah. Barulah kita benar-benar menjaga negara ini,” ujarnya.
Terdahulu, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, susulan wujud percubaan untuk menyerang beliau dengan perkara yang berpotensi merosakkan imej kerajaan MADANI.
Sumber: Astro Awani
The post Tindakan Shamsul Iskandar letak jawatan, bukti kerajaan Madani berintegriti – PM appeared first on The Reporter.

