Tinggal lori dalam ladang sawit, pemandu 'lesap' selepas terbabit kemalangan maut

LocalPolitics
18 Apr 2026 • 12:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tinggal lori dalam ladang sawit, pemandu 'lesap' selepas terbabit kemalangan maut
Lori ditemui dalam ladang sawit, dipercayai ditinggalkan pemandunya selepas terbabit kemalangan maut mengorbankan nyawa penunggang motosikal berhampiran simpang Kilang Sawit Seroja, Jengka 18 pada Jumaat. Foto: Polis Maran

MARAN – Seorang pemandu lori dipercayai melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya dalam ladang sawit selepas terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal berhampiran simpang Kilang Sawit Seroja, Jengka 18 di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 6.50 petang itu, penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 53 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kedua-dua kenderaan terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Jengka 18 menghala ke Jengka 17.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu lori dipercayai memotong motosikal yang ditunggang mangsa sebelum terus memasuki simpang kiri.

“Tindakan melulu pemandu lori menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar kenderaan tersebut,” katanya.

Kim Wai berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori melarikan diri dan gagal dikesan selepas kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehingga kini tiada saksi yang tampil membantu siasatan berkaitan kemalangan tersebut,” katanya.

Justeru, beliau meminta kerjasama orang ramai atau saksi kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 010-5752075 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.