'Tinggal sehelai sepinggang' - Mangsa kebakaran perlukan bantuan

10 Jun 2026 • 2:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Tinggal sehelai sepinggang' - Mangsa kebakaran perlukan bantuan
Mangsa kebakaran memerlukan bantuan kewangan untuk menyewa rumah atau membaiki kediaman yang rosak.Gambar kecil dari kiri, Nisah, Siti Mariam dan Sabariah.
Image from: 'Tinggal sehelai sepinggang' - Mangsa kebakaran perlukan bantuan
Mangsa kebakaran mengambil baju yang sesuai untuk mereka. FOTO ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Selepas kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur Isnin lalu, mangsa berdepan cabaran besar apabila memerlukan bantuan kewangan untuk menyewa rumah atau membaiki kediaman yang rosak.

Keadaan itu lebih merumitkan apabila sebahagian rumah yang musnah dibina di atas tanah sewaan, sekali gus menyukarkan usaha membina semula kediaman di tapak asal.

Seorang mangsa, Siti Mariam Ismail, 56, berkata, dia kini menumpang di rumah anaknya di Kubang Pasu selepas rumah yang didiaminya selama kira-kira 40 tahun musnah dalam kebakaran tersebut.

Menurut peniaga kuih itu, dia hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang apabila api merebak dengan pantas dan mengelilingi rumahnya.

“Saya tinggal di sini sejak berpuluh-puluh tahun lalu, apabila kebakaran berlaku, kami tidak sempat menyelamatkan harta benda.

“Sekarang saya menumpang di rumah anak. Buat masa ini memang perlukan bantuan kewangan untuk memulakan semula kehidupan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.

**media[3546502]**

Dalam kejadian itu, 27 rumah penduduk melibatkan 130 mangsa musnah hingga menjejaskan kehidupan mereka.

Bagi Nisah Abdullah, 62, pula, bantuan kewangan amat diperlukan bagi menampung keperluan keluarga yang turut terkesan akibat kebakaran tersebut.

Wanita yang bekerja di sebuah kedai makan itu berkata, keluarganya melibatkan kira-kira 10 orang termasuk anak-anak dan cucu-cucu yang kini terpaksa mencari tempat tinggal sementara.

“Saya dan suami tinggal di situ bersama keluarga. Anak sulung merupakan ibu tunggal yang mempunyai dua anak, manakala anak kedua pula mempunyai tiga anak dan suaminya bekerja jauh.

“Apabila berlaku kejadian ini, semua terkesan dan kami sangat perlukan bantuan kewangan untuk meneruskan kehidupan dan mencari tempat tinggal yang lebih sesuai,” katanya.

Sementara itu, Sabariah Abdullah, 67, berkata, rumahnya tidak musnah sepenuhnya namun mengalami kerosakan pada bahagian dinding dan siling akibat kebakaran berkenaan.

Menurut peniaga kuih itu, dia kini menumpang sementara di rumah anaknya di Pantai Cahaya Bulan di sini kerana kediaman tersebut masih belum selamat untuk diduduki.

“Ketika kejadian suami saya ada di rumah dan kelam-kabut menyelamatkan diri sebelum api merebak dengan cepat.

“Ketika ini kami tinggal di rumah anak saya sementara waktu kerana bekalan elektrik dan air terputus,” katanya.