Tinggalkan pengundi untuk survival politik?

LocalPolitics
20 May 2026 • 9:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tinggalkan pengundi untuk survival politik?
Rafizi (kanan) dan Nik Nazmi membuat pengumuman yang tidak diduga apabila turut mengosongkan kerusi Parlimen.

LANGKAH kamikaze Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meninggalkan parti bukan sesuatu yang mengejutkan. Gerak geri kedua-dua bekas pemimpin PKR itu termasuk akan meninggalkan parti sebenarnya boleh dijangka sejak sekian lama.

Namun Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Setiawangsa itu membuat pengumuman yang tidak diduga apabila turut mengosongkan kerusi Parlimen, ia menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai. Adakah mandat rakyat wajar dipertaruhkan hanya kerana perbezaan pendirian dengan parti?

Dari satu sudut, tindakan kedua-dua orang lama dalam politik ini dianggap sebagai bermaruah. Mereka dipilih atas tiket parti, maka mandat harus dipulangkan semula kepada rakyat apabila tidak lagi bersama perjuangan asal.

Dari sudut prinsip demokrasi pula, tindakan itu lebih terhormat berbanding melompat parti apabila pengundi diberi hak menentukannya semula.

Tapi persoalan lebih besar ialah kesannya kepada rakyat khususnya pengundi di Parlimen Pandan dan Setiawangsa. Ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup, isu pekerjaan dan pelbagai masalah setempat, pergolakan politik dalaman parti seperti tidak memberi manfaat langsung kepada kehidupan harian mereka.

Seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, perbuatan seorang wakil rakyat mengosongkan kerusi Parlimen secara sengaja hanya akan merugikan rakyat yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Tidak boleh dinafikan, ramai pengundi mengundi bukan kerana individu semata-mata tetapi juga kerana lambang parti dan gabungan politik. Apabila seorang wakil rakyat bertukar haluan, kepercayaan pengundi boleh terjejas. Rakyat mungkin merasakan undi mereka menjadi bahan percaturan kuasa dan strategi politik semata-mata.

Namun begitu, bagi kes dua menteri ini, selain terikat dengan bon parti RM10 juta, mengosongkan kerusi adalah pilihan lebih baik berbanding mengkhianati mandat secara senyap.

Cuma, apabila krisis dalaman yang berakhir seperti ini, rakyat akan terus melihat politik di negara ini sebagai gelanggang survival individu dan bukannya medan menyelesaikan masalah masyarakat.