Tingkatan Enam kekal bawah KPM

29 Jul 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tingkatan Enam kekal bawah KPM

PUTRAJAYA: Program prauni­ver­siti Tingkatan Enam ke­kal di ba­wah Kementerian ­Pen­didi­kan (KPM) buat masa ini selepas ke­ra­jaan memu­tus­­kan untuk menangguhkan cadangan me­letakkannya di ba­­wah Ke­menterian Pengajian Tinggi (KPT).

Perdana Menteri, Datuk Se­ri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas ke­rajaan mengambil kira kekangan sistem dan skim per­khidmatan sekiranya cadangan itu dilaksanakan.

Beliau berkata, walaupun cadangan memindahkan Tingkatan Enam ke KPT disifatkan sebagai langkah yang rasio­nal kerana statusnya sebagai pendidikan pasca menengah, pelaksanaannya memerlukan penelitian lanjut berikutan me­libatkan perubahan sistem pentadbiran dan perkhidmatan.

“Saya fikir rasionalnya memang betul, tetapi peralihan itu mengambil masa kerana sistem dan skim.

“Jadi buat sementara ini saya putuskan supaya program pra­universiti Tingkatan Enam kekal di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Pendidikan di sini semalam.

Sebelum ini, Anwar ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 pada Januari lalu berkata, KPT akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendi­dikan prauniversiti melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi bermula tahun ini.

Beliau berkata, pengambilalihan itu secara rasmi meletakkan kedua-dua aliran berkenaan sebagai sebahagian daripada pendidikan tinggi negara.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, identiti Tingkatan Enam sebagai program prauniversiti perlu diperkukuhkan supaya tidak lagi dilihat sebagai sebahagian daripada persekolahan menengah biasa.

Menurut beliau, walaupun pelajar Tingkatan Enam masih ditempatkan di sekolah yang sama, mereka perlu mempu­nyai blok pembelajaran, pengurusan, disiplin dan aktiviti yang berasingan bagi mewujudkan suasana pembelajaran setaraf pendidikan prauniversiti.

“Saya mahu Tingkatan Enam jangan dijadikan sebahagian daripada persekolahan. Sentimennya ialah prauniversiti.

“Kalau berada dalam sekolah yang sama sekalipun, me­reka perlu mempunyai blok berasingan, diurus sebagai prog­ram berasingan dan diberi pengiktirafan khas,” katanya.

Beliau berkata, majlis perhimpunan juga sewajarnya diasingkan dengan murid Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima supaya pelajar Tingkatan Enam benar-benar merasai status mereka sebagai pelajar pasca sekolah dan prauniversiti.

Menurut Anwar, pendekatan itu pernah diamalkan sebelum ini dan wajar dikembalikan bagi meningkatkan imej serta keyakinan pelajar terhadap laluan pendidikan tersebut.

Dalam pada itu, beliau ber­kata, kerajaan tidak menolak kemungkinan mengkaji semula cadangan memindahkan Tingkatan Enam ke KPT atau mewujudkan kolej khas Tingkatan Enam pada masa depan sekiranya keadaan mengizinkan.

“Sekarang kita kekalkan dahulu di bawah KPM. Beberapa tahun akan datang kita boleh kaji semula sekiranya dirasakan perlu,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut mengumumkan, kerajaan memperluaskan Bantuan Am Persekolahan (BAmP) di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga miskin tegar, membabitkan peruntukan RM4.69 juta pada tahun ini.

Perdana Menteri berkata, inisiatif itu akan memberi manfaat kepada lebih 31,000 pelajar Tingkatan Enam yang sebelum ini tidak menerima bantuan berkenaan. – UTUSAN

The post Tingkatan Enam kekal bawah KPM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved