Kurang sebulan sebelum tirai Latihan Pestapora Malaysia 2026 dibuka, penganjur akhirnya melengkapkan barisan artis menerusi pengumuman fasa kedua yang menyaksikan penyertaan beberapa nama besar dari Malaysia dan Indonesia.

Antara yang bakal menghangatkan pentas di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 15 Ogos ini ialah kumpulan ska popular Indonesia Tipe-X, band rock Last Child, selain nama-nama tempatan seperti Ruffedge, Lah Ahmad dan DJ Disko Santan & Friends.
Pengumuman itu sekali gus melengkapkan festival muzik rentas budaya yang dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Boss Creator.
Bagi peminat muzik Indonesia, kehadiran Last Child pastinya menjadi antara tarikan terbesar apabila kumpulan itu bakal membuat penampilan sulung di Malaysia.
Sementara itu, Tipe-X dijangka mengubat kerinduan peminat yang membesar dengan irama ska menerusi deretan lagu popular mereka sejak lebih dua dekad lalu.

Tidak kurang hebatnya, Ruffedge dan Lah Ahmad bakal membawa nostalgia menerusi lagu-lagu malar segar yang pernah mendominasi carta muzik tempatan.
DJ Disko Santan & Friends pula akan memastikan suasana festival terus meriah dengan seleksi muzik yang mengiringi pengunjung sepanjang acara berlangsung.
Lebih daripada sekadar konsert, Latihan Pestapora Malaysia 2026 menjanjikan pengalaman festival selama 12 jam dengan persembahan daripada 15 artis Malaysia dan Indonesia.
Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman daripada vendor yang mengambil bahagian, selain menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang festival.

Bagi memastikan keselesaan pengunjung, setiap pemegang tiket akan menerima sebotol air mineral percuma ketika memasuki festival.
Penganjur turut menyediakan stesen isi semula air secara percuma bagi membolehkan pengunjung kekal terhidrasi sepanjang acara berlangsung.
Dari segi tiket, jualan kini memasuki kategori General Admission Phase 2 pada harga RM249.
Mereka yang bercadang hadir secara berkumpulan pula boleh memanfaatkan promosi Bundle Pesta, iaitu pembelian empat tiket General Admission akan menerima satu tiket percuma, sekali gus menawarkan penjimatan yang lebih menarik.
Dengan gabungan artis popular, suasana festival yang lebih santai dan pelbagai aktiviti menarik, Latihan Pestapora Malaysia 2026 dijangka mampu menarik minat pencinta muzik, khususnya peminat muzik Malaysia dan Indonesia yang mahu menikmati pengalaman hiburan merentasi sempadan budaya. - Getaran, 25 Julai 2026



![Sukan Komanwel 2026 [LIVE] RTM / Jadual Kontinjen Malaysia](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://ecentral.my/wp-content/uploads/2026/07/sukan-komanwel-2026-819x1024.jpeg)


