Titah Addendum Dan Kuasa YDPA

Politics
30 Dec 2025 • 3:00 PM MYT
Yukiepedia
Yukiepedia

Your Malaysian politics dictionary

Image from: Titah Addendum Dan Kuasa YDPA
Apabila emosi mendahului Perlembagaan, salah faham yang memangkin rasa marah dan tidak puas hati adalah natijahnya. 📸 Yukiepedia

Tajuk utama berita tempatan dan luar negara kebelakangan ini:

Titah Adendum: Najib Razak kekal di Penjara Kajang - Astro Awani

Malaysian court rejects Najib’s bid to serve sentence under house arrest - Al Jazeera

Najib kekal di penjara, Titah Adendum tidak sah - Utusan Malaysia

__________________________________________________________________________

Image from: Titah Addendum Dan Kuasa YDPA
Dalam negara Raja Berperlembagaan, kuasa tidak berdiri di atas individu, tetapi diikat oleh Perlembagaan. Ia bukan diukur pada siapa yang berhak membuat keputusan, tetapi pada sama ada keputusan itu dibuat mengikut prosedur dan undang-undang yang sah. Di sinilah letaknya legitimasi kuasa — bukan pada prerogatif mutlak, tetapi pada kepatuhan kepada keluhuran Perlembagaan.. 📸 Yukiepedia

Kontrovesi Titah Addendum

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (Najib) menjalani tahanan di rumah sebagai tidak sah. Sehubungan itu, permohonan Najib untuk melaksanakan Titah Addendum ditolak dan Najib akan habiskan baki hukumannya di Penjara Kajang, bukan di rumah.

Permohonan yang difailkan oleh Najib adalah berkaitan Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 (YDPA) yang membolehkan Najib menjalani baki hukumannya sebagai tahanan di rumah.

Kontroversi tercetus sejurus keputusan mahkamah diumumkan. Di ruang awam dan media sosial, ramai beranggapan keputusan tersebut secara langsung mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan. Persepsi ini diperkukuhkan lagi apabila peguam Tan Sri Shafee Abdullah sendiri mengulas di sidang media bahawa keputusan berkenaan seolah-olah mencabar prerogatif Agong.

Adakah tanggapan sedemikian betul? Ada kebenaran di sebalik tuduhan itu?

Image from: Titah Addendum Dan Kuasa YDPA
Inilah Titah Addendum yang mencetuskan kontrovesi. 📸 Yukiepedia

Raja Berpelembagaan

Kes ini tidak difailkan untuk mohon Mahkamah menentukan sama ada YDPA mempunyai kuasa untuk memberi pengampunan kuasa tersebut tidak pernah dipertikaikan dan telah lama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Lagipun, bidang kuasa Mahkamah adalah untuk ‘tafsirkan undang-undang’ yang sedia ada. Mahkamah tidak ada kuasa untuk wujudkan undang-undang yang baru. Itu kerja Parlimen.

Apa yang sebenarnya dinilai oleh mahkamah di dalam kes Titah Addendum ini ialah persoalan yang jauh lebih khusus dan teknikal: Adakah proses pengampunan itu dilaksanakan mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang yang sah.

Aiks. Bukankah Titah Addendum itu sah dan bukankah baru diakui bahawa kuasa YDPA tidak boleh dicabar kerana ada Perlembagaan?

Di sinilah ramai yang teruja sehingga terlupa satu prinsip asas negara: Malaysia bukan sebuah negara monarki mutlak.

Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan di mana YDPA adalah Ketua Negara. Salah satu kriteria sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian (separation of powers) di dalam pemerintahan iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif (Pentadbiran). Tujuan kriteria pembahagian kuasa ini adalah untuk elakkan mana-mana pihak mempunyai kuasa mutlak dan terkecuali daripada prinsip ‘check and balance’.

Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat sedemikian untuk membolehkan pelaksanaan sistem pentadbiran di negara semenjak merdeka.

Secara ringkas, konsep asas Perlembagaan Malaysia adalah :

  1. Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi.
  2. Menjadi punca kepada semua undang-undang.
  3. Tidak ada sebarang institusi di Malaysia yang boleh mengatasi kuasa dan kedudukan Perlembagaan.

Konsep Raja Berpelembagaan memperuntukkan YDPA kuasa dan keistimewaan yang tidak diberikan kepada rakyat lain oleh Perlembagaan. Namun demikian. keistimewaan dan kuasa tersebut berpunca daripada Perlembagaan. Oleh itu, walaupun baginda ada kuasa dan prerogatif istimewa, baginda harus bertindak mengikut peruntukan perlembagaan yang telah ditetapkan sekaligus menutup ruang kepada kebebasan memerintah (kuasa mutlak) dalam sistem pentadbiran negara.

Ini perkara asas yang perlu difahami sebelum apa jua pendapat dan pemahaman dikongsi.

Precedent Sudah Ada

Disebabkan ada beberapa keadaan dalam Perlembagaan Malaysia yang tidak menyebut secara jelas tentang kedaulatan dan kuasa Raja-Raja Melayu, maka Raja-Raja Melayu adakalanya menggunakan budi bicara melangkaui peruntukan dalam perlembagaan. Tindakan ini seringkali dicabar keabsahahnya.

Sebagai contoh:

Image from: Titah Addendum Dan Kuasa YDPA
Antara mereka yang berjuang untuk Sim Kie Chon dulu adalah parti DAP. 📸 DAP Malaysia

(a) Sim Kie Chon lwn. Penguasa Penjara Pudu (1985)

Fakta kes:

Sim Kie Chon, seorang banduan yang dijatuhi hukuman mati, memohon pengampunan diraja. Permohonannya ditolak dan beliau mencabar keputusan tersebut dengan alasan Yang di-Pertuan Agong gagal mempertimbangkan rayuan secara adil.

Isu undang-undang:

Sama ada keputusan pengampunan Raja boleh dicabar di mahkamah, dan dalam kapasiti apakah Raja bertindak ketika menjalankan kuasa tersebut.

Keputusan mahkamah:

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Yang di-Pertuan Agong, apabila menjalankan kuasa pengampunan, bertindak sebagai institusi perlembagaan, bukan atas kapasiti peribadi. Proses pengampunan adalah tindakan pentadbiran berstruktur, bukan kuasa mutlak yang bebas daripada kerangka undang-undang.

Prinsip penting:

Kuasa Raja wujud dalam Perlembagaan, bukan di atas Perlembagaan.

Image from: Titah Addendum Dan Kuasa YDPA
Kes Juraimi adalah kes yang turut melibatkan satu nama yang popular sehingga ke hari ini. Mona Fandy 📸 Blog

(b) Juraimi Husin lwn. Lembaga Pengampunan (2002)

Fakta kes:

Juraimi Husin, seorang banduan hukuman mati, berhujah bahawa proses pengampunan beliau cacat kerana Lembaga Pengampunan gagal menjalankan fungsi perundingan secara bermakna sebelum keputusan dibuat.

Isu undang-undang:

Adakah kegagalan mematuhi prosedur perundingan di bawah Perkara 42 boleh menjadikan keputusan pengampunan tidak sah.

Keputusan mahkamah:

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa perundingan dengan Lembaga Pengampunan bukan formaliti kosong, tetapi satu keperluan perlembagaan yang substantif. Sekiranya prosedur ini diabaikan, keputusan tersebut boleh dianggap cacat dari segi undang-undang.

Prinsip penting:

Prosedur ialah teras kesahihan kuasa pengampunan.

Image from: Titah Addendum Dan Kuasa YDPA
Pengampunan Anwar Ibrahim pada tahun 2018. Seperti yang tertera di dalam gambar di atas, pengampunan diberikan berdasarkan kepada NASIHAT LEMBAGA. 📸 X Anwar Ibrahim

Fakta kes:

Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar proses yang membawa kepada keputusan pengampunan penuh beliau, khususnya cara Lembaga Pengampunan menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Isu undang-undang:

Sama ada keputusan pengampunan boleh disemak oleh mahkamah, dan sejauh mana proses tersebut tertakluk kepada semakan kehakiman.

Keputusan mahkamah:

Keputusan pengampunan itu sendiri adalah “non-justiciable” (tidak boleh dicabar), Namun, proses yang membawa kepada keputusan tersebut boleh disemak untuk memastikan ia mematuhi Perlembagaan. Mahkamah menegaskan bahawa semakan kehakiman bertujuan melindungi integriti proses, bukan mencabar kebijaksanaan Raja.

Prinsip penting:

Mahkamah berfungsi sebagai penjaga proses perlembagaan, bukan penilai keputusan Raja

Persoalan teras dalam ketiga-tiga kes ini menyentuh aspek kuasa pengampunan, iaitu kuasa yang wujud kerana Perlembagaan memperuntukkannya melalui Perkara 42. Namun demikian, di dalam ketiga-tiga kes tersebut (dan yang lain), Mahkamah tidak menyentuh soalan siapa yang berkuasa, tetapi bagaimana kuasa itu dilaksanakan

Mahkamah Ikut Precedent

Dalam kerangka perlembagaan moden, legitimasi sesuatu kuasa dinilai bukan sahaja pada sumbernya, tetapi juga pada prosedur pelaksanaannya yang mesti selari dengan saluran dan prinsip undang-undang yang ditetapkan.

Dan ini yang menjadi asas penghakiman di dalamk kes Titah Addendum Najib baru-baru ini.

Di dalam Alasan Penghakiman (Grounds of Judgment) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (disampaikan oleh Hakim Datuk Alice Loke Yee Ching pada 22 Disember 2025) mengenai penolakan permohonan semakan kehakiman Najib dalam isu Titah Addendum ini, ianya dijelaskan mengapa Titah Addendum tersebut tidak sah.

Secara ringkas, Mahkamah memutuskan Titah Adendum itu tidak sah atas sebab-sebab berikut:

  1. Tiada dalam Mesyuarat Rasmi: Titah itu tidak pernah dibentangkan atau diputuskan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan. Keputusan rasmi yang direkodkan hanyalah pengurangan hukuman penjara dan denda.
  2. Melanggar Perlembagaan (Perkara 42): YDPA tidak boleh bertindak sendirian (unilateral). Kuasa pengampunan mesti dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan dan dibuat di dalam mesyuarat, bukan sebagai arahan berasingan.
  3. Tiada Kuasa Penguatkuasaan: Memandangkan titah itu dibuat di luar prosedur undang-undang yang betul, ia dianggap cacat. Oleh itu, kerajaan tidak mempunyai kewajipan undang-undang untuk melaksanakan perintah yang tidak sah tersebu
Image from: Titah Addendum Dan Kuasa YDPA
Perintah pembebasan awal yang dialamatkan kepada Jabatan Penjara Malaysia. 📸 Yukiepedia

Apabila Mahkamah memutuskan bahawa Titah Adendum tersebut tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan,Mahkamah tidak membuat keputusan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, Mahkamah berpaut kepada rangkaian keputusan terdahulu (precedent) yang telah lama menetapkan bahawa kuasa pengampunan diraja ialah kuasa perlembagaan yang tertakluk kepada prosedur, bukan prerogatif mutlak. (rujuk kepada kes Jurami di atas).

AKHIR KATA

Yang paling membingungkan mengenai kontrovesi kes Titah Addendum Najib ini adalah tomohan bahawa kuasa YDPA telah dikurangkan melalui penghakiman yang dibuat. Secara logiknya, sekiranya hendak kurangkan kuasa YDPA, hanya ada satu caranya iaitu menggubal Perlembagaan. Dan kuasa untuk menggubal Perlembagaan tidak ada pada Mahkamah, Hanya Parlimen yang boleh berbuat demikian dan itu pun ada proses serta proserdunya yang tersendiri,

Mereka yang marah dan bising hari ini mengenai keperluan seorang Raja mendengar nasihat Esksekutif (Perdana Menteri, Menteri dll) dalam membuat keputusan, akan faham mengapa kriteria itu dimasukkan ke dalam Perlembagaan sekiranya mereka ambil inisetif sendiri untuk baca mengenai konflik Perlembagaan yang tercetus semasa pentadbiran Raja George IV pada tahun 1822.


Yukiepedia (yukiepedia@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.