Titah Adendum: Mahkamah Tinggi dengar pengurusan kes Najib hari ini

LocalPolitics
17 Aug 2025 • 5:01 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Prosiding pengurusan kes semakan kehakiman yang difailkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memaksa kerajaan mengemukakan titah adendum akan disebut di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Berdasarkan semakan di laman web mahkamah, prosiding itu akan berlangsung di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan pada 13 Ogos lalu mengarahkan prosiding berkenaan dipercepatkan dan menetapkan pendengarannya perlu dimulakan dalam tempoh sebulan.

Permohonan semakan kehakiman tersebut telah ‘tergantung’ lebih setahun sejak difailkan pada 1 April 2024.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk didengar dan diputuskan, selepas menolak rayuan Peguam Negara yang mahu menghalang Najib daripada meneruskan permohonan tersebut.

Panel berkenaan turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Dalam keputusan itu, mahkamah juga mengarahkan semua pihak berkaitan supaya memfailkan penghujahan bertulis secara serentak sebelum prosiding bermula.