
Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, memberi jaminan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan melantik seorang wakil rakyat berbangsa Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri (TKM) sekiranya kembali diberi mandat memerintah.
“Jika kerajaan ini sekali lagi diberi mandat, dan sekiranya lebih ramai pemimpin Cina berjaya dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan melantik salah seorang daripada mereka sebagai Timbalan Ketua Menteri,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Malam Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah misi dan swasta, serta badan-badan agama bukan Islam di Dewan Hakka, di sini, malam tadi.
Hajiji menekankan peranan besar masyarakat Cina dalam pembangunan Sabah.
“Tanpa sumbangan anda, ekonomi negeri tidak mungkin berkembang. Hakikatnya, masyarakat Cina di Sabah memberi sumbangan dalam pelbagai bidang.
“Dalam sektor swasta, usahawan dan peniaga Cina adalah antara pemain utama. Dalam perkhidmatan awam, ramai pegawai berketurunan Cina memegang jawatan kanan di kementerian, jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.
Beliau turut menambah bahawa bagi memperkukuh pentadbiran negeri, beberapa penasihat telah dilantik, khususnya dalam bidang minyak dan gas, kewangan, pelaburan dan perundangan.
“Kebetulan, hampir kesemuanya terdiri daripada tokoh berketurunan Cina. Terbaharu, saya melantik Yang Berbahagia Tan Sri David Wong Dak Wah, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, untuk mengetuai Majlis Penasihat Reformasi Undang-Undang Sabah (SLRAC) – sebuah badan bebas yang ditubuhkan bagi memperkukuh sistem perundangan negeri.
“Majlis ini akan meneliti undang-undang lapuk, mencadangkan pembaharuan yang relevan, adil dan mesra rakyat, serta memastikan pentadbiran negeri selaras dengan keperluan semasa. Beginilah cara kita memperbaiki tadbir urus negeri agar Sabah kekal progresif dan dihormati,” katanya.
Hajiji juga berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM70 juta bantuan kewangan untuk sekolah misi, sekolah swasta, tokong dan badan agama bukan Islam, dengan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM90 juta tahun depan.
“Sebagai Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab, kami berusaha merancang dan bekerja keras menangani isu-isu yang timbul, sambil memastikan semua komuniti tanpa mengira warna kulit atau pegangan agama mendapat layanan adil dan saksama.
“Sebab itu saya sentiasa menyokong dan membantu mana-mana institusi, NGO atau persatuan yang memerlukan, meskipun ia juga bergantung kepada kemampuan dan kedudukan kewangan kerajaan. Semangat solidariti dan kebersamaan ini telah menjadi prinsip panduan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Kerajaan Negeri sejak lima tahun lalu,” katanya.
Selain peruntukan RM70 juta itu, Hajiji berkata, bantuan tambahan juga disalurkan melalui Peruntukan Khas Ketua Menteri, termasuk sokongan untuk sekolah Cina dan persatuan kebudayaan di Sabah. Ini meliputi bantuan untuk perayaan Tahun Baharu Cina, peralatan tarian singa, Pesta Bot Naga serta sumbangan kepada gereja dan pertubuhan lain.
Hajiji berkata sumbangan itu diharap dapat meringankan beban dan menyokong aktiviti sekolah serta badan agama bukan Islam di seluruh Sabah.
Sebagai ketua Kerajaan Negeri, Hajiji turut menegaskan beliau memahami masalah rakyat, khususnya isu mendesak seperti bekalan air.
“Krisis kekurangan air berlaku di pelbagai tempat. Masalah ini timbul apabila kerajaan terdahulu menamatkan kontrak konsesi bekalan air di Sabah. Akibat penamatan itu, Kerajaan Negeri kini terpaksa membayar pampasan RM315 juta kepada syarikat terbabit,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri komited menyelesaikan masalah itu dengan 18 projek pembangunan bekalan air sedang dilaksanakan di seluruh Sabah.
“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pinjaman RM300 juta untuk tujuan ini,” katanya.
Antara projek utama ialah Loji Rawatan Air Kogopon bernilai RM365 juta di Papar dengan kapasiti sehingga 80 juta liter sehari (MLD) yang dijangka siap pada 2026.
“Apabila siap, ia akan menyelesaikan masalah bekalan air di Papar, Kinarut dan Putatan,” kata Hajiji.
Projek Empangan Air Cinta Mata di Tawau bernilai RM300 juta dengan kapasiti 169 MLD pula dijangka siap pada 2027.
“Untuk makluman, jumlah projek pembinaan, pembaikan dan naik taraf loji rawatan air yang sedang dilaksanakan di seluruh Sabah kini mencecah RM1.2 bilion,” katanya, menambah bahawa krisis air di Sandakan, Lahad Datu dan Semporna turut menjadi keutamaan.
Sementara itu, bekalan air untuk Bandaraya Kota Kinabalu juga dijangka bertambah baik selepas Loji Rawatan Air Telibong II siap sepenuhnya. Loji itu kini sudah mengagihkan 160 MLD ke kawasan Bandaraya, KKIP dan Tuaran.
Bagi penyelesaian jangka panjang, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri bersetuju menggunakan Projek Hidroelektrik Ulu Padas untuk penjanaan kuasa, manakala Skim Bekalan Air Ulu Padas akan menyediakan kapasiti 6,000 MLD khusus bagi keperluan Pantai Barat Sabah.
Projek yang dijangka siap pada 2030 itu dibangunkan melalui usaha sama antara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, Gamuda Berhad – pelaksana Projek Hidroelektrik Ulu Padas – dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd.
“Kerajaan Negeri juga telah memutuskan untuk menswastakan Jabatan Air bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi rakyat,” tegasnya.

