sarah25/11/2026 - 17:29 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov - Telekom Malaysia Berhad (TM) menjadualkan semula sebahagian pelaburannya ke 2027, sekali gus menyemak turun sasaran nisbah perbelanjaan modal (CAPEX) kepada hasil bagi tahun kewangan 2026 (FY26) daripada 18% hingga 20% kepada 16% hingga 18%.
TM dalam kenyataan hari ini berkata, pelarasan itu turut mencerminkan peningkatan kecekapan dalam reka bentuk infrastruktur serta pergerakan kadar pertukaran asing yang memihak kepada kumpulan.
Pelarasan tersebut dijangka tidak memberikan kesan ketara kepada operasi semasa atau inisiatif pertumbuhan strategik kumpulan.
TM turut mengekalkan panduan pertumbuhan hasil pada kadar satu digit rendah bagi FY26, manakala pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) dijangka berada pada paras setara dengan FY25.
Permintaan pusat data kekal menggalakkan
Dalam perkembangan perniagaan pusat data, kapasiti Blok 2 Pusat Data Iskandar Puteri (IPDC) telah dilanggan sepenuhnya, manakala kontrak bagi lebih 70% daripada kapasiti 64 megawatt (MW) fasa awal TM Nxera telah dimeterai sebelum operasi bermula.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Amar Huzaimi Md Deris berkata, kumpulan turut memperoleh permintaan jangka panjang daripada syarikat teknologi berskala besar menerusi penyelesaian pusat data dan perkhidmatan rangkaian rentas sempadan.
Penyelesaian berkenaan menghubungkan fasiliti di Malaysia dengan pusat data di Singapura serta pasaran utama serantau menerusi rangkaian darat dan kabel dasar laut TM.
TM turut menerima Notis Kelulusan bagi projek kabel dasar laut SALAM daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkukuh hubungan rangkaian komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Keuntungan bersih sembilan bulan susut 20.8%
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, keuntungan bersih TM menyusut 20.8% kepada RM1.18 bilion, manakala EBIT menurun 7.8% kepada RM1.67 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
Penurunan itu mencerminkan kesan penurunan nilai kapasiti 5G prabayar yang tidak digunakan serta kos sekali sahaja berkaitan Prihatin dan hak penyiaran Piala Dunia FIFA 2026, selain keuntungan nilai saksama daripada pelaburan dalam dana teknologi serta caj cukai lebih rendah pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, keuntungan bersih asas meningkat 1% kepada RM1.29 bilion, manakala EBIT asas meningkat 1.8% kepada RM1.82 bilion, dengan hasil keseluruhan kumpulan meningkat 3.3% kepada RM8.90 bilion.
Semua segmen perniagaan catat pertumbuhan hasil
Segmen Unifi mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 4.4% kepada RM4.36 bilion, manakala jumlah pelanggan jalur lebar tetap kumpulan kekal stabil pada sekitar 3.22 juta meskipun berdepan persaingan pasaran.
Hasil segmen TM One dan Credence meningkat 0.8% kepada RM2.04 bilion, manakala TM Global mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 3.9% kepada RM2.40 bilion, disokong peningkatan permintaan domestik dan antarabangsa serta pelaksanaan rangkaian sokongan mudah alih 5G yang kini melibatkan lebih 10,000 tapak.
Jumlah dividen sembilan bulan cecah RM901.9 juta
Bagi suku ketiga 2026, TM mencatatkan hasil sebanyak RM3 bilion, meningkat 0.3% berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala EBIT meningkat 11.7% kepada RM692.2 juta dengan keuntungan bersih berjumlah RM494 juta.
Lembaga Pengarah TM turut mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 10 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi sembilan bulan pertama 2026 sebanyak 23.5 sen sesaham, dengan jumlah pembayaran RM901.9 juta. - DagangNews.com





