Subsidi bahan api berisiko dikurangkan pada 2027 jika pertumbuhan ekonomi gagal capai sasaran - BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
16 Nov 2026 • 9:16 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Subsidi bahan api berisiko dikurangkan pada 2027 jika pertumbuhan ekonomi gagal capai sasaran - BIMB Securities Image from: Subsidi bahan api berisiko dikurangkan pada 2027 jika pertumbuhan ekonomi gagal capai sasaran - BIMB Securities sarah16/11/2026 - 09:16 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov - Kerajaan berkemungkinan terpaksa mengurangkan sebahagian subsidi bahan api pada 2027 sekiranya pertumbuhan ekonomi dan hasil negara gagal mencapai sasaran, terutama jika konflik geopolitik menyebabkan harga minyak dunia kembali melonjak.

 

BIMB Securities Research berkata, keadaan itu boleh meningkatkan tekanan terhadap kedudukan kewangan kerajaan, sekali gus mendorong Putrajaya menilai semula pemberian subsidi bahan api bagi memastikan perbelanjaan mengurus kekal terkawal.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh daripada jangkaan pada 2026, disokong oleh perkembangan pesat industri kecerdasan buatan (AI), telah membantu meningkatkan hasil kerajaan dan menyediakan ruang kewangan tambahan untuk menampung kos subsidi bahan api.

 

"Jika pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2027 lebih rendah daripada sasaran, keadaan itu boleh menjejaskan hasil kerajaan dan mendorong Putrajaya mengurangkan sekurang-kurangnya sebahagian subsidi bahan api bagi melindungi keseimbangan fiskal," menurut firma itu dalam laporan penyelidikan.

 

Harga minyak dan inflasi ancam kuasa beli rakyat

BIMB Securities menjelaskan, peningkatan semula ketegangan geopolitik di Eropah atau Asia Barat berpotensi mencetuskan lonjakan harga minyak, sekali gus meningkatkan tekanan inflasi dan menjejaskan perbelanjaan isi rumah.

 

Firma itu berpandangan bahawa sebarang pengurangan subsidi bahan api dalam keadaan harga minyak meningkat boleh menyebabkan kos sara hidup bertambah, seterusnya memperlahankan pertumbuhan perbelanjaan domestik.

 

Bagaimanapun, asas ekonomi domestik ketika ini masih kukuh dengan kadar pengangguran sekitar 3%, inflasi di bawah 2% dan ringgit yang stabil, sekali gus membantu mengekalkan kuasa beli pengguna menjelang 2027.

 

Perbelanjaan pengguna dijangka terus berkembang pada 2027

BIMB Securities menjangkakan perdagangan pengedaran Malaysia berkembang sebanyak 7% pada 2027, disokong oleh peningkatan pendapatan, pemulihan sektor pelancongan serta pelaksanaan projek pengangkutan utama termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.

 

Prestasi perbelanjaan domestik turut menunjukkan momentum kukuh apabila jualan perdagangan pengedaran melonjak 15.9% tahun ke tahun kepada RM183.1 bilion pada September 2026, pertumbuhan terpantas dalam tempoh lima tahun, diterajui perdagangan borong yang meningkat 25.3% dan jualan kenderaan bermotor sebanyak 13.4%.

 

Pemulihan pelancongan sokong pertumbuhan ekonomi

Firma itu turut menjangkakan sektor pelancongan kembali pulih pada 2027 selepas ketibaan pelancong asing menyusut 1.6% kepada 19.5 juta orang dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, berikutan kenaikan tambang penerbangan akibat kos bahan api pesawat yang lebih tinggi.

 

Pemulihan tersebut dijangka disokong oleh pelaksanaan ECRL dan RTS, penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027 serta Sukan SEA ke-34, selain peningkatan aktiviti pelancongan perubatan yang berpotensi merancakkan sektor peruncitan, hospitaliti dan pengangkutan.

 

BIMB Securities bagaimanapun menegaskan bahawa ketidaktentuan geopolitik kekal sebagai risiko utama kepada prospek penggunaan domestik pada 2027, khususnya jika kenaikan harga tenaga mencetuskan tekanan inflasi baharu dan menjejaskan kemampuan rakyat untuk berbelanja.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved