sarah23/11/2026 - 11:10 Oleh SARAH NAADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov - Hap Seng Plantations Holdings Berhad menurunkan sasaran pengeluaran buah tandan segar (BTS) bagi 2026 kepada 616,000 tan daripada 670,000 tan sebelum ini, pengurangan sebanyak 54,000 tan berikutan perubahan kitaran penghasilan buah sawit, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, semakan turun tersebut menyebabkan unjuran pertumbuhan pengeluaran BTS syarikat bagi tahun ini dikurangkan kepada hanya 0.4% berbanding 9.3% sebelum ini, walaupun pengeluaran terkumpul sehingga Oktober meningkat 5.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut RHB Research dalam nota penyelidikan bertarikh 23 November 2026, pengurangan sasaran itu bukan disebabkan kerosakan tanaman atau cuaca buruk, sebaliknya sebahagian hasil sawit dijangka hanya dapat dituai pada suku pertama 2027.
Pihak pengurusan menjangkakan pengeluaran melebihi 160,000 tan pada suku keempat 2026, dengan pengeluaran bulanan telah mencapai paras tertinggi pada Oktober, sekali gus menunjukkan sebahagian hasil yang dijangka tahun ini akan beralih ke tahun depan.
Pengeluaran dijangka pulih pada 2027
RHB Research kekal positif terhadap prospek pengeluaran Hap Seng Plantations pada 2027, disokong hasil tertangguh yang dijangka dituai pada suku pertama serta kelembapan tanah yang mencukupi hasil taburan hujan normal sepanjang tahun ini.
Firma itu turut menjangkakan kesan fenomena El Niño adalah minimum dan mengunjurkan pertumbuhan pengeluaran BTS sebanyak 4.4% pada 2027 serta 4.7% pada 2028, berbanding anggaran penyusutan 0.1% bagi 2026.
Kos pengeluaran meningkat kepada RM2,500 satu tan
Bagaimanapun, Hap Seng Plantations turut menaikkan unjuran kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) kepada RM2,500 satu tan daripada RM2,300 sebelum ini, susulan jumlah pengeluaran BTS yang lebih rendah daripada sasaran asal.
RHB Research berkata, kos pengeluaran MSM pada suku ketiga sebenarnya menurun 1.8% berbanding suku sebelumnya kepada RM2,444 satu tan, manakala kos bagi sembilan bulan pertama 2026 susut 5.2% kepada RM2,478 satu tan, dibantu peningkatan pengeluaran MSM.
Namun, firma itu menaikkan sedikit anggaran kos pengeluaran bagi tempoh 2026 hingga 2028 selepas mengambil kira kenaikan harga diesel sekitar 30% berbanding tahun sebelumnya serta peningkatan gaji minimum pada 2027, walaupun kos baja dijangka kekal stabil.
RHB turunkan harga sasaran saham kepada RM2.65
RHB Research turut mengurangkan unjuran keuntungan Hap Seng Plantations bagi 2026 hingga 2028 masing-masing sebanyak 2.3%, 5.4% dan 2.5%, namun masih menjangkakan keuntungan bersih berulang meningkat kepada RM172 juta pada 2027 daripada RM159 juta tahun ini. Firma itu mengekalkan saranan 'beli' tetapi menurunkan harga sasaran saham kepada RM2.65 daripada RM2.85, dengan potensi kenaikan 23% berdasarkan harga RM2.15 serta anggaran hasil dividen 6% bagi 2027.- DagangNews.com






