TNB dapat kontrak 7 tahun bernilai RM705 juta selenggara loji di Kuwait

LocalBusiness & Finance
15 Apr 2025 • 11:42 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB dapat kontrak 7 tahun bernilai RM705 juta selenggara loji di Kuwait

image is not available

15/04/2025 - 11:42

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 April — Tenaga Nasional Berhad (TNB), melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Repair and Maintenance Sdn Bhd (TNB REMACO), menandatangani kontrak bersama Kementerian Elektrik, Air dan Tenaga Boleh Baharu (MEWRE) Kuwait.

Syarikat utiliti utama di Malaysia itu berkata, kontrak baharu selama tempoh tujuh tahun bernilai kira-kira RM705 juta tersebut, melibatkan rakan kongsinya dari Kuwait, Al Dhow Engineering dan memperkukuhkan kedudukannya di peringkat global.


Kontrak tersebut kata TNB, memberi tumpuan kepada kerja-kerja Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih Menyeluruh (MRO) untuk Loji Janakuasa dan Penyulingan Air Sabiya yang terletak kira-kira 65 kilometer dari ibu negaranya, Kuwait City.


Loji dengan mengandungi empat unit janakuasa minyak dan gas yang berkapasiti keseluruhan 299.4 megawatt (MW) itu katanya, memainkan peranan penting dalam infrastruktur tenaga negara rantau Asia Barat tersebut sejak mula beroperasi pada 1998.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, perjanjian itu mencerminkan keyakinan MEWRE terhadap usaha sama TNB REMACO-Al Dhow untuk menyediakan rumusan tenaga yang berkualiti tinggi dan mampan.


"Usaha ini menyokong permintaan tenaga yang semakin meningkat di Kuwait dan sejajar dengan misi TNB untuk menjadi penyedia tenaga mampan terkemuka, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan tersebut.


Selain Kuwait, TNB sudah mengembangkan sayap operasinya ke United Kingdom, Ireland, Australia, Turkiye, Arab Saudi, Pakistan dan Kemboja yang merangkumi perkhidmatan penjanaan tenaga solar, angin serta hidro.


Megat Jalaluddin turut menekankan komitmen TNB dalam menyokong sektor tenaga di Kuwait selain mengembangkan portfolio antarabangsa kerana kerjasama itu bukan sahaja mengukuhkan kepakaran teknikal, tetapi mengeratkan hubungan ekonomi dua negara.


Sementara itu, Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan Pengerusi TNB REMACO, Datuk Muhamad Nazri Pazil dalam kenyataan tersebut menekankan kehadiran kukuh TNB REMACO sejak memasuki pasaran penjanaan tenaga Kuwait pada 2013.


"Kami kini berkembang pesat menguruskan 11 projek aktif dengan jumlah nilai kontrak melebihi RM4.54 bilion. Sejak 2013 juga, seramai 16 bakat dan pakar TNB telah dipinjamkan ke Kuwait bagi memantau projek-projek ini," jelas beliau.


Ketika ini seramai enam orang kakitangannya sedang mengetuai serta menguruskan kesemua kontrak yang sedang berjalan dan beliau menegaskan bahawa TNB REMACO bersedia untuk terus berkembang, di dalam negara serta di peringkat antarabangsa.


Sebagai sebahagian daripada TNB Genco, TNB REMACO kata Muhammad Nazri, terus menunjukkan kepakaran teknikal dan keupayaannya dalam industri penjanaan tenaga serta komited untuk meluaskan perniagaan di Malaysia dan luar negara.


Kenyataan TNB itu berkata, majlis pemeteraian perjanjian tersebut berlangsung di ibu pejabat Bank Negara Kuwait pada 12 Mac 2025 dengan disempurnakan oleh Megat Jalaluddin Megat dan Pengerusi Al Dhow Engineering, Isam Al-Sager.


Turut hadir ialah Muhamad Nazri dan Pengarah Urusan TNB REMACO, Abidin Sarjo.


Dengan pencapaian terkini itu, TNB REMACO mengukuhkan kedudukan sebagai penggiat utama industri penjanaan tenaga global dengan syarikat berkenaan terus memberikan tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan perkembangan antarabangsa.


TNB REMACO, merupakan anak syarikat milik penuh TNB Genco, yang mengkhusus dalam perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan (O&M), baik pulih menyeluruh, serta pembaikan dan penyelenggaraan (R&M) bagi sektor tenaga.


Ia juga berkepakaran dalam turbin gas, stim dan hidro, dandang, serta penjana, selain menyediakan rumusan teknikal merentasi pelbagai loji janakuasa dan pengeluar peralatan sokongan di seluruh dunia. - DagangNews.com

featured standard