TNB labur RM15 bilion perkukuh grid nasional jamin bekalan elektrik negara

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 4:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB labur RM15 bilion perkukuh grid nasional jamin bekalan elektrik negara Image from: TNB labur RM15 bilion perkukuh grid nasional jamin bekalan elektrik negara liza09/10/2026 - 16:55 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt – Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan melabur RM15 bilion bagi memperkukuh grid nasional untuk menjamin kelangsungan bekalan elektrik negara, selaras dengan usaha memperhebat agenda peralihan tenaga dan memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan itu merupakan antara langkah kerajaan memperkukuh daya tahan sektor tenaga negara, khususnya dalam memastikan kelangsungan bekalan tenaga bagi jangka panjang susulan ketidaktentuan konflik di Asia Barat.

 

“Selain itu, UEM Lestra akan melabur RM1 bilion, termasuk bagi melaksanakan projek penyimpanan tenaga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta projek tenaga hibrid berkapasiti satu gigawatt (GW) di Johor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Dana Iklim Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah RM1 bilion akan dimanfaatkan bagi menyokong pelaksanaan projek hijau, termasuk pembangunan tenaga boleh baharu dan usaha penyahkarbonan.

 

Sementara itu, kerajaan turut memperkenalkan rebat sehingga RM200 menerusi program NUR MADANI kepada pembeli penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga bagi membantu menggalakkan penggunaan peralatan elektrik yang lebih menjimatkan tenaga ketika cuaca panas.

 

Bagi menggalakkan lebih banyak syarikat beralih kepada teknologi hijau dan lestari, kerajaan turut menambah baik serta melanjutkan insentif cukai sehingga 31 Disember 2030.

 

Menerusi insentif itu, syarikat yang menjalankan projek teknologi hijau dan membangunkan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) layak menikmati Elaun Cukai Pelaburan sehingga 100 peratus.

 

Syarikat yang membeli aset teknologi hijau untuk kegunaan sendiri turut layak menikmati Elaun Cukai Pelaburan sehingga 100 peratus, sekali gus menyokong penggunaan teknologi lebih bersih dan mempercepat peralihan ke arah ekonomi rendah karbon. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved