TNB mula bangunkan National Grid Backbone 500kV, perkukuh keterjaminan dan pacu peralihan tenaga negara

LocalEnvironment
28 Aug 2026 • 2:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB mula bangunkan National Grid Backbone 500kV, perkukuh keterjaminan dan pacu peralihan tenaga negara Image from: TNB mula bangunkan National Grid Backbone 500kV, perkukuh keterjaminan dan pacu peralihan tenaga negara hamden28/08/2026 - 14:56 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Tenaga Nasional Bhd (TNB) memulakan pembangunan National Grid Backbone 500kV, sebuah projek infrastruktur strategik yang bakal menjadi tulang belakang baharu sistem penghantaran elektrik Semenanjung Malaysia bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara, memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat dan mempercepatkan agenda peralihan tenaga.

 

Apabila siap pada 2030, National Grid Backbone itu akan menjadi sistem talian penghantaran 500kV terpanjang pernah dibangunkan di Malaysia, dengan jajaran keseluruhan kira-kira 500 kilometer.

 

TNB dalam kenyataan hari ini berkata, projek berkenaan direka untuk meningkatkan daya tahan, kebolehpercayaan, fleksibiliti dan kapasiti penghantaran Grid Nasional, selain menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

"Permulaan pembangunan itu ditandai dengan perasmian tapak projek Pencawang Masuk Utama (PMU) 500kV Kampung Awah di Maran, Pahang, yang akan berfungsi sebagai salah satu nod penghantaran strategik dalam jajaran National Grid Backbone merentasi Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

 

"Majlis perasmian tapak tersebut disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, dengan kehadiran Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad," kata kenyataan itu.

 

Kampung Awah jadi nod strategik penghantaran

PMU Kampung Awah akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kapasiti penghantaran, memperkukuh pemindahan tenaga antara wilayah serta meningkatkan daya tahan dan kebolehpercayaan rangkaian elektrik Semenanjung Malaysia.

 

Terletak secara strategik di sepanjang koridor penghantaran Paka-Kampung Awah-Bahau South-Kulai East, pencawang itu akan memperkukuh kesalinghubungan Grid Nasional serta menyediakan kapasiti tambahan untuk mengintegrasikan sumber penjanaan elektrik sedia ada dan masa hadapan.

 

Pembangunan tersebut juga dijangka menyokong pertumbuhan aktiviti perindustrian dan komersial, memudah cara kemasukan pelaburan bernilai tinggi serta membuka peluang kepada rantaian bekalan tempatan dalam bidang kejuruteraan, pembinaan, operasi dan perkhidmatan berkaitan.

 

National Grid Backbone 500kV pula akan menyediakan kapasiti penghantaran tenaga pukal berkapasiti tinggi merentasi Semenanjung Malaysia, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan, kecekapan dan daya tahan rangkaian elektrik negara.

 

Infrastruktur berkenaan akan memperkukuh Grid Nasional merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan keseluruhan sistem grid serta menyokong pelaksanaan NETR.

 

RM43 bilion untuk bangunkan, modenkan grid

Pembangunan National Grid Backbone merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang TNB untuk memodenkan sistem grid elektrik negara.

 

Bagi tempoh 2025 hingga 2027, TNB melabur sebanyak RM43 bilion dalam pembangunan dan pemodenan grid bagi memperkukuh kebolehpercayaan, daya tahan dan kapasiti Grid Nasional.

 

National Grid Backbone akan menyediakan kapasiti penghantaran dan fleksibiliti grid yang diperlukan untuk memenuhi permintaan bekalan elektrik yang terus berkembang, di samping membolehkan penembusan tenaga boleh baharu yang lebih tinggi, khususnya di Wilayah Timur.

 

Ia juga dijangka meningkatkan kesiapsiagaan sistem elektrik negara untuk memenuhi keperluan industri yang berteraskan kecerdasan buatan (AI), pusat data, infrastruktur digital serta pelaburan hijau bernilai tinggi yang semakin berkembang.

 

Perkembangan itu seterusnya dijangka meningkatkan daya saing Malaysia dan menyokong aspirasi negara untuk muncul sebagai hab tenaga serantau yang terkemuka.

 

Pahang berpotensi tarik lebih banyak pelaburan hijau

Wan Rosdy berkata, pembangunan PMU Kampung Awah meletakkan Pahang pada kedudukan strategik dalam Grid Nasional dan berpotensi menjadi pemangkin untuk menarik lebih banyak pelaburan hijau serta berteknologi tinggi ke negeri itu.

 

Menurut beliau, ia disokong oleh kapasiti penghantaran yang lebih besar, kebolehpercayaan grid yang lebih kukuh serta kesiapsiagaan untuk memenuhi permintaan tenaga pada masa hadapan.

 

“Sebagai salah satu nod penghantaran strategik bagi National Grid Backbone 500kV, projek ini akan memperkukuh kesalinghubungan Pahang dengan Grid Nasional dan meningkatkan kesiapsiagaan negeri untuk menyokong industri baharu, pelaburan bernilai tinggi dan pembangunan tenaga boleh baharu yang sedang berkembang.

 

“Infrastruktur ini juga akan mewujudkan peluang kepada perniagaan dan komuniti tempatan di sepanjang rantaian bekalan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi Pahang serta mengukuhkan kedudukan negeri sebagai penyumbang penting kepada peralihan tenaga Malaysia,” katanya.

 

Komitmen TNB

Sementara itu, Shamsul berkata pembangunan National Grid Backbone 500kV mencerminkan komitmen TNB untuk terus melabur dalam infrastruktur kritikal yang mampu memperkukuh keterjaminan tenaga Malaysia sambil membolehkan negara meneruskan agenda peralihan tenaga.

 

“Grid yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan adalah asas penting bagi Malaysia untuk memenuhi pertumbuhan permintaan elektrik, mengintegrasikan lebih banyak tenaga boleh baharu serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

 

“National Grid Backbone 500kV akan memperkukuh tulang belakang sistem penghantaran Semenanjung Malaysia dengan menyediakan kapasiti dan fleksibiliti yang diperlukan bagi memenuhi keperluan tenaga negara yang terus berkembang, di samping memacu pelaksanaan NETR,” katanya.

 

Secara keseluruhan, permulaan pembangunan National Grid Backbone 500kV merupakan langkah penting dalam memperkukuh asas sistem tenaga masa hadapan Malaysia.

 

Dengan kapasiti penghantaran yang lebih besar, kesalinghubungan antara wilayah yang lebih kukuh serta keupayaan menyokong peningkatan tenaga boleh baharu dan pertumbuhan industri baharu, projek itu dijangka memastikan Grid Nasional berada dalam keadaan bersedia untuk memenuhi keperluan elektrik negara yang terus berkembang.

 

Ia juga menjadi antara infrastruktur utama dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia serta memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan untuk tahun-tahun akan datang. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved