TNB sasar tandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga sehingga 5GW - RHB Research

LocalBusiness & Finance
1 Sep 2026 • 9:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB sasar tandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga sehingga 5GW - RHB Research Image from: TNB sasar tandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga sehingga 5GW - RHB Research hamden01/09/2026 - 09:53 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Sept - Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyasarkan untuk menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga (ESA) tambahan sehingga 5 gigawatt (GW) dalam tempoh beberapa tahun akan datang, didorong permintaan yang kekal kukuh terhadap infrastruktur digital, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan kukuh daripada pusat data (DC) dijangka menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan jualan elektrik TNB, dengan pengurusan mengunjurkan pertumbuhan jualan elektrik tahunan sebanyak 5-6%, berbanding 4.5-5.5% sebelum ini. 

 

Pada separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26) pertumbuhan jualan elektrik TNB mencapai 8%. Permintaan daripada pusat data kekal kukuh apabila TNB menandatangani lima Perjanjian Bekalan Tenaga (ESA) baharu sepanjang 1HFY26, membabitkan jumlah kapasiti 856 megawatt (MW).

 

“Pertanyaan daripada pengendali pusat data kekal kukuh apabila pengurusan menyasarkan untuk menandatangani 10 ESA tahun ini dengan kapasiti sehingga 1.5 gigawatt (GW).

 

“Secara keseluruhan, pengurusan berharap dapat menandatangani tambahan 5GW ESA dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sehubungan itu firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan ‘BELI’ ke atas TNB dengan harga sasaran RM16.50, memberikan potensi kenaikan 17% serta hasil sekitar 4%.

 

Harga sasaran tersebut disandarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY26 sebanyak 19 kali, termasuk diskaun ESG sebanyak 4%.

 

Firma penyelidikan berpendapat premium penilaian itu wajar memandangkan TNB merupakan penerima manfaat utama daripada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), manakala rangka kerja kawal selia menyediakan asas pendapatan yang stabil.

 

RHB Research berkata, setakat ini, TNB telah menandatangani ESA berjumlah 8.4GW, manakala kapasiti sebanyak 1.1GW telah disiapkan, meningkat 26% secara suku tahunan.

 

Firma penyelidikan itu berkata momentum permintaan pusat data dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan jualan elektrik TNB dalam tempoh akan datang.

 

Bagaimanapun, kelulusan bagi projek pusat data baharu dijangka lebih ketat berikutan kerajaan menetapkan beberapa syarat termasuk keperluan mendapatkan pelanggan, mempunyai campuran tenaga boleh diperbaharui (RE) serta komitmen terhadap tempoh ESA selama 10 tahun.

 

Penggunaan Capex Dijangka Meningkat

Sementara itu, TNB menggunakan RM5.6 bilion bagi perbelanjaan modal (capex) pada 1HFY26, bersamaan kira-kira 43% daripada unjuran firma penyelidikan sebanyak RM13 bilion.

 

Penggunaan capex lazimnya meningkat menjelang penghujung tahun, dengan antara projek yang diperuntukkan termasuk pencawang masuk utama 500kV di Sedenak West serta talian penghantaran tulang belakang 500kV sepanjang 500 kilometer dari Paka ke Kulai.

 

Pengurusan juga masih berharap untuk mencapai dua pertiga daripada kelulusan capex di bawah Tempoh Kawal Selia 4, yang dianggarkan mampu memberikan peningkatan 7% kepada unjuran keuntungan sesaham (EPS) dan harga sasaran FY26 firma penyelidikan berkenaan.

 

Dalam perkembangan lain, TNB telah mengemukakan bidaan bagi tender NEWGEN26 untuk membina loji janakuasa gas baharu bagi tempoh 2029 hingga 2031.

 

Tender tersebut ditutup pada Julai dan pemenang dijangka diumumkan menjelang akhir tahun. TNB dilaporkan turut membida untuk membina loji janakuasa gas berkapasiti **700MW di Connaught Bridge**.

 

Sekiranya berjaya memenangi tender berkenaan, firma penyelidikan menganggarkan ia boleh memberikan peningkatan sekitar 2% kepada harga sasaran TNB.

 

Risiko penurunan utama termasuk kelewatan kelulusan capex dan kadar cukai efektif (ETR) yang lebih tinggi. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved