hamden01/09/2026 - 11:39 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Sept - Ibraco Bhd menjangkakan pendapatan daripada segmen pembinaannya bertambah baik pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26), susulan penyelesaian isu kelewatan pensijilan Automated Rapid Transit (ART) yang sebelum ini menjejaskan pengiktirafan hasil projek.
TA Research berkata, pengurusan menjangkakan kira-kira RM300 juta akan diiktiraf daripada projek berkenaan pada suku ketiga dan keempat FY26 (3Q-4QFY26), dengan kerja pembinaan disasarkan siap pada Disember 2026.
Menurut firma penyelidikan itu, penyelesaian pensijilan ART yang tertangguh itu itu dijangka menjadi pemangkin kepada pemulihan pendapatan pembinaan Ibraco pada 2HFY26.
“Pendapatan pembinaan sepatutnya bertambah baik pada 2HFY26 susulan penyelesaian kesesakan pensijilan ART. Pengurusan menjangkakan kira-kira RM300 juta akan diiktiraf daripada projek tersebut pada 3Q-4QFY26, dengan siap disasarkan pada Disember 2026,” katanya.
Pada 1HFY26, keuntungan bersih teras Ibraco susut 6.6% tahun ke tahun kepada RM27.7 juta, manakala hasil merosot 14% kepada RM324.4 juta.
Penurunan hasil itu sebahagian besarnya disebabkan hasil pembinaan yang lebih rendah sebanyak RM128.8 juta, berbanding RM213.5 juta pada 1HFY25 akibat kelewatan pensijilan ART.
Bagaimanapun, prestasi tersebut sebahagiannya diimbangi peningkatan hasil pembangunan hartanah sebanyak 17.5% tahun ke tahun kepada RM165.3 juta.
Bagi 2QFY26, keuntungan bersih teras meningkat 7.8% suku ke suku kepada RM14.3 juta, manakala hasil secara keseluruhan stabil pada RM163.6 juta.
Sementara itu, dari segi penambahan kontrak baharu, pengurusan berkata potensi penganugerahan bernilai kira-kira RM100 juta hampir dimuktamadkan, selain satu lagi tender berskala besar yang masih belum diputuskan.
Keterlihatan pendapatan masa depan kumpulan turut disokong jualan belum dibilkan sebanyak RM252 juta serta baki buku tempahan pembinaan sebanyak RM657 juta.
Dalam segmen pembangunan hartanah, jualan 1HFY26 berjumlah RM117.3 juta, turun 22.5% tahun ke tahun dan mewakili 39% daripada sasaran jualan FY26 sebanyak RM300 juta.
Namun, pengurusan kekal optimistik untuk mencapai sasaran berkenaan memandangkan sebahagian besar pelancaran projek kumpulan dijadualkan pada 2HFY26.
Antara pelancaran utama termasuk The NorthBank Business Exchange dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM200 juta serta The NorthBank super terrace dengan GDV RM72 juta.
TA Research mengekalkan harga sasaran Ibraco pada RM1.52 sesaham berdasarkan kaedah jumlah bahagian (SOP) dan mengekalkan penarafan ‘BELI’. - DagangNews.com





