TNB terus raih lonjakan permintaan elektrik daripada pertumbuhan pesat pusat data, kata penganalisis

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 9:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB terus raih lonjakan permintaan elektrik daripada pertumbuhan pesat pusat data, kata penganalisis Image from: TNB terus raih lonjakan permintaan elektrik daripada pertumbuhan pesat pusat data, kata penganalisis amree28/08/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 OgosTenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperoleh manfaat daripada lonjakan besar permintaan elektrik terutama daripada pertumbuhan pesat pusat data (DC), menurut penganalisis.

 

Mereka turut kekal positif terhadap prospek kumpulan didorong perkembangan semasa, peningkatan perbelanjaan modal (capex) dan kedudukan sebagai penerima utama pelaburan peralihan tenaga negara.

 

Antaranya RHB Research menyifatkan pendapatan berulang bagi separuh pertama 2026 (1H26) adalah menepati jangkaan, menyumbang 45% kepada unjuran dan hasil meningkat 8% tahun ke tahun (YoY).

 

"Ia didorong permintaan kukuh daripada DC, dengan jualan elektrik sektor komersial menjadi pemacu utama pertumbuhan TNB apabila mencatatkan kenaikan ketara," jelas firma penyelidikan tersebut.

 

Kumpulan turut merekodkan permintaan puncak baharu sebanyak 22,014MW pada Ogos 2026, meningkat 3% berbanding rekod terdahulu pada April 2026, mencerminkan pertumbuhan kukuh penggunaan elektrik.

 

RHB Research turut melihat perkembangan positif daripada kadar cukai efektif (ETR) yang semakin mengecil kepada 28% pada 2Q26 berbanding 31% pada suku pertama, menjadikan purata 1H26 pada 29%.

 

Pengurusan TNB pula kekal menyasarkan ETR sebanyak 23% hingga 24% bagi tahun kewangan penuh, yang berpotensi memberi peningkatan kepada unjuran keuntungan sekiranya sasaran tersebut dicapai.

 

Artikel berkaitan: TNB catat prestasi berdaya tahan bagi separuh pertama 2026, lindungi rakyat ketika ketidaktentuan di Asia Barat

 

Tenaga Nasional Berhad_DagangNews2026

 

"Segmen penjanaan turut mencatatkan peningkatan keuntungan bagi 1H26, dengan keuntungan selepas cukai meningkat 145% kepada RM388 juta berikutan prestasi loji yang lebih baik," tambahnya.

 

Ujar RHB Research, segmen berkenaan turut merekodkan margin bahan api positif sebanyak RM84 juta pada 2Q26 berikutan pergerakan harga arang batu yang lebih menggalakkan dan menyebelahi kumpulan.

 

Capex terkawal pula kekal berada pada landasan, dengan TNB menggunakan RM5.6 bilion bagi 1H26, meningkat 3% YoY atau bersamaan 43% daripada unjuran firma penyelidikan itu sebanyak RM13 bilion.

 

Justeru ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM16.50 dengan melihat kumpulan itu sebagai penerima utama peralihan tenaga, dengan rangka kerja menyediakan asas hasil lebih stabil.

 

Sementara itu, CGS International (CGSI) berkata, keuntungan TNB bagi 1H26 sebanyak RM2.1 bilion, meningkat 4% YOY, masih selaras dengan unjuran meskipun kos operasi bukan bahan api meningkat 16%.

 

"Prestasi suku pertama turut mendapat manfaat sekali sahaja daripada bayaran kapasiti tertunggak Kenyir, manakala prestasi asas pada 2Q26 dipercayai terjejas oleh perbelanjaan tinggi," katanya.

 

Bagaimanapun, ia mengekalkan saranan 'tambah' dengan TP RM16.60, kerana melihat TNB sebagai antara pilihan utama untuk mendapatkan pendedahan kepada pelaburan peralihan tenaga dan sektor utiliti.

 

CGSI juga menjangkakan permintaan DC dapat mempercepatkan pelaksanaan capex kumpulan berkenaan, selain akan membuka peluang pertumbuhan yang lebih luas daripada projek loji jana kuasa gas.

 

Namun firma berkenaan mengingatkan risiko seperti peningkatan kos operasi, turun naik harga bahan api dan perubahan peraturan terus perlu dipantau pelabur. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved