amree28/08/2026 - 14:22 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Ogos — OSK Holdings Berhad mencatatkan pertumbuhan kukuh pada separuh pertama 2026, dengan keuntungan bersih yang boleh diagihkan meningkat kira-kira 6% kepada RM281.5 juta.
Kumpulan itu merekodkan hasil RM997.7 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (6MFY26), naik 9% tahun ke tahun (YoY), manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) bertambah 9% kepada RM323.1 juta.
Bagaimanapun tekanan kos bahan mentah dan perbelanjaan operasi yang tinggi menyebabkan keuntungan segmen industrinya pula merosot 71%, sekali gus menjadi cabaran utama kumpulan berkenaan sendiri.
"Ketika ini OSK semakin agresif mengembangkan perniagaan hartanah dan perkhidmatan kewangan yang memacu prestasi lebih baik termasuk menerusi segmen dan hospitaliti," jelasnya dalam kenyataan.
Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Ong Leong Huat berkata, prestasi 1HFY26 mencerminkan kekuatan dan kepelbagaian platform perniagaan, dengan hartanah dan perkhidmatan kewangan menjadi penjana utama.
Ujarnya, segmen hartanah kekal pemacu pertumbuhan terbesar, apabila hasil naik 9% kepada RM435.3 juta, manakala PBT melonjak 39% kepada RM86.7 juta, disokong jualan dan kemajuan pembinaan.
Antara projek OSK yang menyumbang prestasi ialah Bandar Puteri Jaya di Sungai Petani, Kedah dan di Australia, Melbourne Square turut mencatatkan kemajuan, dengan mencapai kadar pengambilan 81%.

"Setakat 30 Jun 2026, kami memiliki jualan belum dibilkan RM1.5 bilion serta bank tanah seluas 977 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) yang mencecah RM18.2 bilion," tambah beliau.
Hasil segmen perkhidmatan kewangan pula berkembang 12% kepada RM158.5 juta dan keuntungan naik 15% kepada RM69.8 juta, disokong pengembangan portfolio pinjaman di Malaysia, Australia dan Singapura.
Jelas kenyataan OSK, jumlah pinjaman tertunggak meningkat kepada RM2.8 bilion, manakala pendapatan segmen hospitaliti naik 13% kepada RM55 juta, dipacu kadar penghunian dan harga bilik yang tinggi.
Sebaliknya ujar kumpulan berkenaan, segmen industri masih berdepan dengan tekanan paling ketara apabila PBT menjunam 71% kepada RM5.9 juta, walaupun hasil bertambah 9% kepada RM348.8 juta.
"Keadaan ini disebabkan perbelanjaan operasi dan kos bahan mentah yang tinggi, khususnya bahagian kabel, namun prestasi menunjukkan pemulihan pada 2QFY26 selepas kos operasi berkurangan," katanya.
OSK tambahnya, akan terus mengurus tekanan kos dan margin melalui kecekapan operasi, perolehan berdisiplin dan pengoptimuman kos, sambil kekal berwaspada terhadap risiko ketegangan geopolitik.
Dengan pelbagai projek yang kukuh, pertumbuhan pinjaman serantau dan pemulihan hospitaliti, ia memasuki separuh kedua 2026 bagi menukar peluang perniagaan kepada pertumbuhan. - DagangNews.com






