
KUALA LUMPUR - Tokoh akademik dan aktivis hak asasi manusia, Dr Chandra Muzaffar, meninggal dunia pada usia 79 tahun di Hospital KPJ Damansara kira-kira jam 6 petang semalam.
Allahyarham dilaporkan mengalami komplikasi jantung sebelum dikejarkan ke hospital berkenaan.
Pemergian beliau disahkan oleh cucunya yang memaklumkan keluarga masih berada di hospital ketika berita itu dikongsi.
Urusan pengebumian akan dimaklumkan dalam satu pengumuman berasingan.
Gerakan Antarabangsa untuk Dunia yang Adil (JUST), yang dipengerusikan Chandra, turut mengesahkan berita duka itu menerusi hantaran di Facebook sambil menyampaikan rasa dukacita atas pemergian beliau.
Dilahirkan di Bedong, Kedah pada 1947, Chandra merupakan antara tokoh yang lantang mengulas perkembangan politik tanah air, dasar luar negara serta isu geopolitik dan hubungan antarabangsa.
Beliau turut memainkan peranan dalam perkembangan gerakan masyarakat sivil menerusi penubuhan Aliran, sebuah pertubuhan yang memperjuangkan demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan sosial.
Chandra mengetuai organisasi terbabit sebagai presiden dari 1977 hingga 1991.
Penglibatannya dalam arena politik turut menyaksikan beliau menjadi antara pengasas Parti Keadilan Nasional, yang kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau kemudian dilantik sebagai timbalan presiden parti berkenaan pada 1999.
Pada tahun sama, Allahyarham bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum, sebelum meninggalkan politik kepartian pada November 2001.
Dalam bidang pendidikan, Chandra memperoleh PhD dalam Sains Sosial dari Universiti Singapura pada 1977.Beliau kemudiannya dilantik sebagai pengarah pertama Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya sebelum menyandang jawatan Profesor Pengajian Global di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Allahyarham turut menghasilkan beberapa karya yang membincangkan isu Islam, masyarakat dan hak asasi manusia, antaranya Universalism of Islam (1979), Islamic Resurgence in Malaysia (1987) serta Human Rights and the New World Order (1993).
Selain sumbangan dalam bidang akademik dan politik, beliau pernah mempengerusikan Yayasan Perpaduan Malaysia dan terus aktif menggalakkan dialog antara peradaban.
Chandra juga konsisten menyuarakan kepentingan dasar luar Malaysia yang tidak berpihak, terutama dalam menangani konflik dan perkembangan di peringkat antarabangsa. - Getaran, 28 November 2026






