Penganalisis Politik Dr Chandra Muzaffar Meninggal Dunia

LocalPolitics
27 Nov 2026 • 10:27 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Penganalisis Politik Dr Chandra Muzaffar Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Penganalisis politik terkenal yang juga Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST) Dr Chandra Muzaffar meninggal dunia pada usia 79 tahun hari ini.

Chandra terkenal dengan kepakarannya dalam bidang geopolitik dan dasar luar, selain sering berkongsi pandangan mengenai hal ehwal antarabangsa serta memperjuangkan pendekatan berkecuali Malaysia dalam mendepani konflik global.

JUST dalam kenyataannya menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Chandra dan memaklumkan butiran lanjut mengenai urusan pengebumian akan diumumkan sebaik sahaja maklumat diperoleh.

“Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan keberkatan ke atas roh Allahyarham serta menempatkannya dalam kalangan orang yang soleh,” menurut kenyataan itu.

JUST turut menyampaikan ucapan takziah serta doa kepada keluarga Allahyarham dalam menghadapi saat yang sukar ini.

Chandra yang dilahirkan di Bedong, Kedah pada 10 Mac 1947, merupakan ahli sains politik melalui latar belakang akademiknya, dengan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Sains Sosial dari Universiti Singapura pada 1977.

Beliau memulakan kerjaya akademiknya di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1970 sebelum menyertai Universiti Malaya sebagai profesor dan Pengarah Pusat Dialog Peradaban dari 1997 hingga 1999.

Sebagai pejuang hak asasi manusia dan reformasi sosial, beliau mengasaskan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN) pada 1977 iaitu gerakan reformasi berbilang kaum dan menerajui gerakan itu sebagai presiden sehingga 1991, dengan memperjuangkan demokrasi, keadilan sosial, tadbir urus yang baik serta persefahaman antara kaum.

Baca juga:

Beliau juga aktif memperjuangkan hak asasi manusia dengan menganggotai jawatankuasa eksekutif Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Asia dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional dari 1999 hingga 2001.

Sepanjang kerjayanya, Chandra banyak menyumbang kepada wacana awam berkaitan geopolitik, dasar luar dan hubungan antarabangsa, selain kerap berkongsi pandangan mengenai perkembangan global serta pendirian dasar luar Malaysia yang tidak berpihak.

Sebagai seorang penulis prolifik, beliau menghasilkan dan menyunting pelbagai buku, antaranya Islamic Resurgence in Malaysia (1987), Human Rights and the New World Order (1993) dan Rights, Religion and Reform (2002).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved