Tokoh perfileman negara, L Krishnan meninggal dunia usia 104 tahun

LocalMovie
26 Sep 2026 • 5:33 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tokoh perfileman negara, L Krishnan meninggal dunia usia 104 tahun

PETALING JAYA – Tokoh perfileman negara, Tan Sri L Krishnan meninggal dunia di Chiang Mai, Thailand pada usia 104 tahun berikutan sakit tua, petang semalam.

Khabar duka pemergian pengarah era filem Melayu klasik itu dikongsikan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Sandakiah Azez.

Sandakiah berkata, perkara itu disahkan setiausaha mendiang sendiri selepas dia bercakap dengan isteri kepada mendiang iaitu Puan Sri Rukmanee.

“Beliau memang sudah lama tinggal di Chiang Mai selepas mendirikan rumah tangga dengan isterinya juga warga negara Thailand.

“Difahamkan beliau menghembuskan nafas terakhir selepas berdepan dengan masalah kesihatan kerana faktor usianya,” katanya.

Menurut Sandakiah juga anak kepada seniman Allahyarham Datuk Aziz Sattar, urusan penghormatan terakhir diadakan selama tiga hari bermula hari ini.

“Difahamkan bacaan doa serta upacara keagamaan berlangsung pada pukul 7.30 malam setiap hari.

“Manakala pembakaran mayat pula dijadualkan di Sanpasakvorraurai, Hang Dong, Chiang Mai pada 28 September ini, pukul 11 pagi,” ujarnya.

Dilahirkan di Madras, India pada 21 Oktober 1922 sebelum berhijrah dan dibesarkan di Pulau Pinang, mendiang L Krishnan antara ikon perfileman Melayu sekitar era 1950-an sehingga 1960-an.

Sebelum terbabit dalam dunia perfileman, beliau pernah bekerja di Singapura dan menjadi penterjemah bahasa Jepun ketika pendudukan Jepun.

Pada tahun 1947, beliau kembali ke Madras dengan duduk di kerusi Penolong Pengarah Filem di Kalairani Film sebelum kembali ke Singapura dua tahun kemudian dan menyertai Studio Shaw sebagai pengarah filem.

Di Studio Shaw, Tan Sri L. Krishnan mula mengenali Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan memberikan Seniman Agung itu watak utama dalam filem Bakti dan Takdir Ilahi terbitan tahun 1950.

Sepanjang kerjayanya, beliau mengarahkan lebih 30 filem selain turut menghasilkan drama, muzik serta filem seram termasuk Orang Minyak (1958) dan Serangan Orang Minyak (1959).

Mendiang menubuhkan dua syarikat, Gaya Filem Berhad dan Gaya Music Studio, enam dekad menabur bakti sumbangannya diiktiraf melalui pelbagai anugerah, termasuk Anugerah P. Ramlee pada tahun 1995 dan Anugerah Galeri Sinema Melayu sebagai Pioneer in the Malay Film Industry pada tahun 1996. – ⁠KOSMO! ONLINE

The post Tokoh perfileman negara, L Krishnan meninggal dunia usia 104 tahun appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved