Tol Tanpa Palang, Guna ANPR Je! – Senarai Plaza Tol Terlibat & Cara Guna

LocalTechnology
16 Jul 2026 • 2:58 PM MYT
eCentral
eCentral

Portal rujukan nombor #1 Malaysia. Kini lebih 30 juta capaian sebulan!

Sistem pembayaran terbuka tol atau tol tanpa palang di Malaysia menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) kini mula digunakan secara projek rintis sebelum ia digunakan seluruh negara.

Pelaksanaan sistem ini merupakan langkah ke arah mewujudkan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) bagi menjamin kelancaran aliran trafik, di samping memudahkan pengguna.

Tahukah anda apakah tol tanpa palang dan bagaimana ia berfungsi nanti?

Jom kami kongsikan lebih lanjut supaya anda taklah terkejut bila lalu tol ni nanti.

Apakah ANPR?

ANPR (Automatic Number Plate Recognition) ialah sistem kamera pintar yang mampu mengesan, membaca dan merekod nombor plat kenderaan secara automatik.

Teknologi ini digunakan di banyak negara untuk penguatkuasaan jalan raya, parkir automatik, dan kutipan tol elektronik.

Di Malaysia, ANPR bakal jadi teras kepada sistem tol tanpa palang, satu inovasi industri lebuh raya yang bakal mengubah cara kita membayar tol.

Teknologi ANPR menggunakan kamera beresolusi tinggi bagi mengenal pasti nombor plat kenderaan secara automatik, yang kemudiannya dipadankan dengan imej fizikal kenderaan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

anpr tol tanpa palang
Gambar menunjukkan Hari Taklimat dan Demonstrasi Pelaksanaan Sistem Pembayaran Terbuka ANPR bersama YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya pada 7 Ogos 2025. / Sumber : Kementerian Kerja Raya Malaysia

Apakah MLFF?

MLFF (Multi Lane Free Flow) ialah sistem kutipan tol elektronik tanpa palang dan tanpa henti, di mana kenderaan tidak perlu memperlahankan kelajuan atau berhenti di lorong tol.

Pembayaran dilakukan secara automatik menggunakan teknologi Automatic Number Plate Recognition (ANPR) dan ini bermakna, tiada lagi plaza tol yang menyebabkan kesesakan di lebuh raya.

Video tinjauan Menteri Kerja Raya bagi Sistem ANPR di PLUS

Bilakah Tol Tanpa Palang Akan Digunakan Di Malaysia?

Pelaksanaan penuh sistem tol tanpa palang (MLFF) di Malaysia kini disasarkan untuk bermula sepenuhnya menjelang tahun 2027.

Walaupun rancangan awal pengenalan fasa rintis berasaskan ANPR bermula pada suku akhir tahun 2025, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengesahkan bahawa pelaksanaan menyeluruh sistem aliran bebas pelbagai lorong (Multi-Lane Free Flow – MLFF) dijangka akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2027.

Bagi menyokong ketiadaan palang fizikal, kerajaan sedang memuktamadkan pindaan tiga akta utama pada tahun ini.

ANPR & JustGO

Teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) telah pun membuktikan keberkesanannya melalui projek rintis terawal di jajaran Hutan Kampung–Sungai Dua.

Setakat pertengahan tahun 2026, sistem ini telah merekodkan lebih ratusan ribu transaksi perjalanan yang lancar.

Dari fasa rintis awal tersebut, PLUS kini telah meluaskan penggunaan teknologi ANPR menerusi aplikasi JustGO ke 18 plaza tol terpilih (termasuk Wilayah Selatan yang baru diaktifkan pada 15 Julai 2026).

Image from: Tol Tanpa Palang, Guna ANPR Je! – Senarai Plaza Tol Terlibat & Cara Guna
PLUS Malaysia

Di Manakah Tol Tanpa Palang Akan Dilaksanakan?

Sistem tol tanpa palang atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF) akan dilaksanakan secara berperingkat di semua lebuh raya utama di Malaysia, dengan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sebagai perintis utama.

Berdasarkan fasa perluasan terbaharu setakat Julai 2026, berikut adalah lokasi lebuh raya dan plaza tol yang terlibat dalam fasa pelaksanaan semasa serta perancangan penuh:

1. Lebuhraya Rangkaian PLUS (Sektor Utama)

Teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) melalui aplikasi JustGO kini sudah aktif di 18 plaza tol ini sebagai persediaan fizikal sebelum palang dibuka sepenuhnya.

Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS / NSE)

  • Plaza Tol Jitra
  • Plaza Tol Hutan Kampung
  • Plaza Tol Alor Setar (Utara)
  • Plaza Tol Alor Setar (Selatan)
  • Plaza Tol Pendang
  • Plaza Tol Gurun
  • Plaza Tol Sg. Petani (Utara)
  • Plaza Tol Sg. Petani (Selatan)
  • Plaza Tol Bertam
  • Plaza Tol Sungai Dua
  • Plaza Tol Kempas

Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE)

  • Plaza Tol Lunas
  • Plaza Tol Kubang Semang

Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH)

  • Plaza Tol Mambau
  • Plaza Tol Lukut

Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA)

  • Plaza Tol Tanjung Kupang
  • Plaza Tol Lima Kedai
  • Plaza Tol Perling

    Nota: Pihak PLUS menyasarkan sistem pengesanan ini akan diaktifkan di seluruh plaza tol kendalian mereka bermula Ogos 2026.

    2. Lebuhraya Lembah Klang (Fasa Aliran Terbuka)

    Selain rangkaian PLUS, beberapa lebuh raya bandar di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor turut terlibat dalam ujian sistem pembayaran terbuka (SPT) yang menjadi asas kepada sistem tanpa palang:

    • Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA)
    • Lebuhraya Baru Pantai (NPE)
    • Lebuhraya Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH)
    • Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE)
    • Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)
    • Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT)
    • Lebuhraya Shah Alam (KESAS)
    • Terowong SMART

    Menjelang tahun 2027, Kementerian Kerja Raya (KKR) menyasarkan seluruh 33 lebuh raya di Malaysia akan menanggalkan palang tol sepenuhnya.

    Pintu tol sedia ada akan digantikan dengan struktur pagar besi tinggi (gantry) di atas jalan raya untuk mengimbas kenderaan yang lalu pada kelajuan tinggi tanpa perlu memperlahankan kenderaan.

    Bagaimana Pembayaran Dibuat?

    Tak perlu lagi kad fizikal atau alat tambahan – hanya daftar nombor plat kenderaan dalam aplikasi JustGO, dan terus pandu.

    Bayaran tol dibuat secara automatik melalui kad debit/kredit atau e-dompet anda yang didaftarkan di aplikasi ini.

    Cara penggunaan adalah seperti berikut:

    1. Muat turun aplikasi JustGO Malaysia
    2. Daftarkan kenderaan
    3. Masukkan kaedah pembayaran
    4. Selepas itu, pandu seperti biasa (tak perlu alat tambahan)

    Melalui platform digital bersepadu, pengguna boleh melalui mana-mana lorong tol tanpa henti dengan pilihan pelbagai mod pembayaran digital, semakan transaksi dan paparan e-invois.

    Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian tanpa sebarang caj.

    Sistem pembayaran tol terbuka ini merupakan inisiatif bersama Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya.

    tol tanpa palang
    anpr tol tanpa palang
    Gambar menunjukkan Menteri Kerja Raya mencuba sendiri sistem pembayaran terbuka Automatic Number Plate Recognition (ANPR) pada 7 Ogos 2025. / Sumber: Facebook Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia

    Adakah Penunggang Motosikal Perlu Membayar Tol?

    Tidak. Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menegaskan tiada perubahan terhadap kategori kenderaan yang dikenakan tol, termasuk penunggang motosikal.

    Kenyataan ini menafikan dakwaan bahawa motosikal akan dikenakan tol mulai Oktober, yang tersebar di media sosial. LLM menyifatkan maklumat tersebut sebagai palsu dan mengelirukan. LLM menggesa orang ramai agar merujuk sumber rasmi dan tidak menyebar maklumat palsu.

    Image from: Tol Tanpa Palang, Guna ANPR Je! – Senarai Plaza Tol Terlibat & Cara Guna
    Gambar menunjukkan sistem MLFF yang sedang diuji dan bakal dilaksanakan di Malaysia bagi mempercepatkan aliran trafik di tol tanpa perlu berhenti atau memperlahankan kenderaan. / Sumber: Media sosial

    Baca juga: Pengeluaran KWSP Akaun 1,2,3 – Syarat & Cara Mohon

    Maklumat Lanjut & Soalan Lazim Tol Tanpa Palang

    Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pelaksanaan sistem ini di Malaysia, sila rujuk saluran berikut:

    1. Kementerian Kerja Raya Malaysia
    2. Lembaga Lebuhraya Malaysia 
    3. PLUS Malaysia
    Apa beza RFID sekarang dengan MLFF?

    RFID sekarang masih memerlukan palang tol, MLFF tidak ada palang langsung.

    Apakah perbezaan MLFF dengan ANPR?

    MLFF = konsep tol tanpa palang, manakala ANPR = salah satu teknologi pelaksanaan bagi membolehkan sistem ini berfungsi.

    Bila Malaysia akan guna tol tanpa palang?

    Sistem tol tanpa palang sepenuhnya atau Multi-Lane Free Flow (MLFF) disasarkan akan dilaksanakan secara rasmi di Malaysia menjelang tahun 2027.

    Bagaimana ANPR berfungsi di tol tanpa palang?

    Teknologi ANPR ini membolehkan nombor plat kenderaan dikenal pasti secara automatik menggunakan kamera beresolusi tinggi, dan bayaran tol dibuat secara digital melalui aplikasi yang disambungkan kepada kad debit/kredit atau e-dompet.

    Bagaimanakah bayaran tol ditolak?

    Tiada lagi konsep tambah nilai kad Touch ‘n Go fizikal di kaunter. Bayaran akan ditolak secara automatik melalui kaedah Pembayaran Terbuka (Open Payment System) yang dipautkan terus ke akaun bank, kad debit, kad kredit (Visa/Mastercard), atau e-wallet (seperti aplikasi JustGO atau e-Wallet Touch ‘n Go).

    Bagaimana jika ada pemandu yang sengaja tidak mahu membayar tol?

    Kerajaan sedang memuktamadkan pindaan beberapa undang-undang utama untuk memberikan kuasa kepada pihak berkuasa bagi menyenaraihitamkan (blacklist) kenderaan, menyekat pembaharuan cukai jalan (road tax), atau membawa pesalah tol culas ke mahkamah.

    Newswav Malaysia Best News App

    Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

    Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved