Tolak tayangan drama ‘Madu atau Racun’ – Menteri Agama

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 10:49 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tolak tayangan drama ‘Madu atau Racun’ – Menteri Agama

PETALING JAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama ‘Madu atau Racun’ yang telah menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, pihaknya amat kesal atas tindakan menyerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.

“Penerapan unsur-unsur bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran ini perlu dibendung agar pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara.

“JPM (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tatasusila kehidupan beragama, manakala pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan sama sekali dengan nilai murni tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan dan mengambil tindakan susulan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam serta peruntukan undang-undang sedia.

Katanya, ini adalah demi memastikan sebarang kandungan media disiarkan secara sahih dan memelihara kesucian agama.

Zulkifli berkata, JPM (Hal Ehwal Agama) menyeru semua penggiat seni, penerbit, dan stesen penyiaran agar sentiasa peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi ditetapkan sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya mendidik jiwa dan membina sahsiah bangsa.

“Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejas keharmonian norma masyarakat.

“Kepada seluruh umat Islam, marilah kita bersama-sama mempertahankan kesucian agama dan akhlak dengan penuh ketaatan serta kebijaksanaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Tolak tayangan drama ‘Madu atau Racun’ – Menteri Agama appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved