‘Tolong Perdana Menteri, hati kami remuk lihat haiwan diseksa’

1 Aug 2026 • 1:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Tolong Perdana Menteri, hati kami remuk lihat haiwan diseksa’

PETALING JAYA – Kes penderaan haiwan semakin menjadi-jadi, pelakon Nabila Huda menggesa kerajaan memperketatkan undang-undang serta hukuman terhadap pelaku jenayah tersebut.

Nabila, 42, atau mesra disapa Abil turut merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memberi perhatian terhadap kes penderaan haiwan yang disifatkan semakin membimbangkan.

“Assalamualaikum YAB Perdana Menteri. Saya tahu YAB mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih besar untuk negara ini. Tetapi, tolong dengar suara kami,” katanya dalam Threads.

Menurutnya, setiap kali melihat haiwan didera, diseksa dan dibunuh dengan kejam, hatinya hancur kerana binatang yang tidak berdosa untuk terus menjadi mangsa kekejaman manusia.

“Hati dan jiwa kami remuk setiap kali melihat haiwan didera, diseksa dan dibunuh dengan begitu kejam. Sampai bila mereka perlu menderita tanpa pembelaan?” ujarnya.

Aktres yang turut memelihara kucing itu turut berpandangan sudah tiba masa hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelaku penderaan haiwan kerana jenayah sedemikian bukan hal kecil.

Malah baginya, perbuatan jahat tersebut juga mencerminkan tahap nilai kemanusiaan serta kurangnya belas ihsan sesebuah masyarakat.

“Sudah tiba masanya undang-undang dan hukuman diperketatkan supaya setimpal dengan kekejaman yang dilakukan.

“Penderaan haiwan bukan isu kecil, ia mencerminkan siapa diri kita sebagai sebuah masyarakat dan sejauh mana rasa belas ihsan yang kita miliki,” ujarnya.

Dipercayai hantaran berkenaan berkaitan dengan kes kematian seekor anjing peliharaan bernama Rocky di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Difahamkan, Polis Klang Selatan sudah membuka kertas siasatan berhubung laporan daripada pelbagai pihak. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Tolong Perdana Menteri, hati kami remuk lihat haiwan diseksa’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved