'Tolong...tolong...aku lemas'

12 Aug 2026 • 12:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Tolong...tolong...aku lemas'
(Dari kanan) Muhd Ammar, Muhd Fareez Adrian dan Ilmie Afiq masih bersedih. Gambar kecil: Luth Naiman (kanan) telah ditemukan manakala rakannya, Mohd Rayyan (kiri) masih lagi hilang.
Image from: 'Tolong...tolong...aku lemas'
Ahli keluarga turut sama berkampung di lokasi kejadian.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Image from: 'Tolong...tolong...aku lemas'
Anggota bomba sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian di Sungai Kelantan, berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri, Kuala Krai pada Rabu.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KUALA KRAI - "Tolong...tolong...aku lemas."

Demikian kata-kata terakhir Mohd Rayyan Hakimi, 14, sebelum hilang di Sungai Kelantan, berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri di sini pada Selasa.

Sahabatnya, Muhd Fareez Adrian Mohd Fazli Safarin,14, menceritakan kembali saat-saat terakhirnya bersama Mohd Rayyan di mana dia sempat memegang tangan pelajar Tingkatan Dua itu.

"Saya tidak mandi cuma tengok rakan-rakan dari atas beting pasir.

"Apabila melihat Mohd Rayyan lemas saya cuba menyelamatkan dia, namun hanya sempat memegang tangannya beberapa minit kemudian terlepas kerana arus sungai sangat deras ketika itu.

"Pada awalnya sebelum kejadian itu Mohd Rayyan telah menunggang motosikalnya datang mengambil kami berempat di rumah di Guchil," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.

**media[3612609]**

Muhd Fareez, Mohd Rayyan, Luth Naiman Mohd Noor Aziron, Muhd Ammar Mohd Jasmi dan Ilmie Afiq Ilyas merupakan sahabat baik sebaya dan tinggal sekampung walaupun belajar berlainan sekolah.

Ujarnya, mereka berlima menaiki motosikal yang ditunggangi oleh Mohd Rayyan secara beramai-ramai dengan niat untuk bersiar-siar.

Muhd Fareez Adrian memberitahu, apabila melalui kawasan kejadian salah seorang sahabat mencadangkan agar mereka mandi manda di situ.

"Saya tidak mandi walaupun pandai berenang. Muhd Ammar dan Ilmie Afiq mandi, dia pandai berenang.

"Mohd Rayyan dan Luth Naiman tidak pandai berenang dan mereka cuba berjalan di dalam sungai kerana air kelihatan cetek.

"Namun ketika sedang berjalan, mereka dipercayai terpijak pasir jerlus dan kemudian tenggelam dibawa arus," katanya.

**media[3612557]**

Dia cuba menyelamatkan Mohd Rayyan manakala Ilmie Afiq pula membantu Luth Naiman daripada terus dihanyutkan arus deras.

Namun ujarnya, mereka berdua gagal dan hampir lemas termasuk juga dengan Muhd Ammar walaupun boleh berenang.

"Beberapa minit kemudian hujan lebat beserta dengan kilat serta guruh.

"Kami hanya mampu menangis melihat dua sahabat dihanyutkan arus kemudian hilang daripada pandangan.

"Kemudian datang sebuah bot dinaiki seorang lelaki yang kebetulan memancing di kawasan berkenaan, kami cuba melambai kepadanya untuk meminta pertolongan," katanya.

Muhd Fareez Adrian memberitahu, pemancing itu telah membawa mereka menaiki bot ke rumah rakit berhampiran sebelum meminta bantuan daripada pihak bomba.

Ujar dia, sehingga sekarang mereka sukar lelapkan mata dan masih bersedih dengan kehilangan dua sahabat baik itu.

Terdahulu salah seorang daripada dua pelajar Tingkatan Dua yang dikhuatiri hilang di Sungai Kelantan, berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri di sini pada Selasa ditemukan lemas pada Rabu.

Mangsa, Luth Naiman pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)

Sultan Yahya Petra 1 ditemukan kira-kira jam 9.10 pagi pada jarak 50 meter dari lokasi dia hilang.

Sementara itu rakannya, Mohd Rayyan Hakimi masih belum ditemukan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Kanan,Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mangsa ditemukan pada kedalaman tiga meter.

"Mayat mangsa telah diserahkan kepada ahli keluarga serta pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Jenazah akan dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved