
KUALA KRAI: Mayat seorang daripada dua pelajar tingkatan dua yang dikhuatiri hilang semasa mandi di Sungai Kelantan dekat Kampung Batu Lada, Aur Duri di sini, ditemukan mati lemas hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penguasa Bomba Kanan Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mayat Luth Naiman Mohd. Noraziron, 14, ditemukan pada pukul 9.10 pagi pada jarak 50 meter dari lokasi remaja berkenaan dikhuatiri hilang.
Katanya, semasa ditemukan remaja berkenaan hanya memakai seluar pendek.
“Mayat mangsa berada pada kedalaman tiga meter di sungai berkenaan. Pencarian bermula 8.30 pagi dengan melakukan dua selaman sebelum mayat mangsa ditemukan di dasar sungai oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan BBP Pengkalan Kubor, Tumpat.
“Mayat mangsa diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Nik Ahmad Afsham berkata, usaha sedang dilakukan untuk mencari dan menyelamat seorang lagi pelajar yang dilaporkan hilang, Muhammad Rayyan Mohd. Hakimie Mohd. Yusmiza, 14, di kawasan sekitar sungai berkenaan sejauh 500 meter.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, kegembiraan lima sekawan mandi-manda di kawasan Sungai Kelantan bertukar tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas dalam kejadian di Kampung Aur Duri. – UTUSAN
The post Seorang pelajar hilang ditemukan lemas di Sungai Kelantan appeared first on Utusan Malaysia.






