KUALA KRAI - Salah seorang daripada dua pelajar Tingkatan Dua yang dikhuatiri hilang di Sungai Kelantan, berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri di sini pada Selasa ditemukan lemas pada Rabu.
Mangsa, Luth Naiman Mohd Noor Aziron, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra 1 ditemukan kira-kira jam 9.10 pagi pada jarak 50 meter dari lokasi dia hilang.
Sementara itu rakannya, Mohd Rayyan Hakimi masih belum ditemukan.
**media[3612455]**
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Kanan, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mangsa ditemukan pada kedalaman tiga meter.
"Mayat mangsa telah diserahkan kepada ahli keluarga serta pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Jenazah akan dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan dua pelajar Tingkatan Dua dikhuatiri lemas selepas dipercayai mandi bersama tiga lagi rakan di Sungai Kelantan berhampiran Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri di sini pada Selasa.
Dua remaja berkenaan dikenali sebagai Mohd Rayyan Hakimi dan Luth Naiman Mohd Noor Aziron masing-masing berusia 14 tahun.
Menurut Nik Ahmad Asham, seramai 12 anggota dari Unit Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pengkalan Chepa dan Pengkalan Kubor serta Kuala Krai telah ditugaskan untuk operasi mencari dan menyelamat.






