“Tong melambung akibat letupan” – Penduduk Panik, Kilang Dipercayai Tempat Simpan Minyak Terbakar

21 Jun 2025 • 6:32 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Sebuah kilang yang dipercayai menyimpan minyak di Taman Megah Ria, Johor Bahru, terbakar dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari tadi, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan penduduk setempat.

Kebakaran tersebut menyebabkan kepulan asap hitam tebal setinggi lebih 100 meter kelihatan di udara.

Ia dipercayai berpunca daripada cuaca panas terik dan tiupan angin kencang yang melanda kawasan berkenaan ketika kejadian berlaku.

Lebih membimbangkan, beberapa letupan kecil turut kedengaran sejak jam 2 petang, malah tong-tong dipercayai berisi minyak turut dilihat melambung akibat letupan tersebut.

image is not available

Ekoran insiden itu, penduduk yang tinggal di sekitar Jalan Kempas 7 diarahkan mengosongkan kediaman mereka sebagai langkah berjaga-jaga.

Bekalan elektrik di kawasan sekitar juga diputuskan bagi mengelakkan sebarang risiko berbahaya.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor kini masih giat menjalankan operasi memadam kebakaran dan maklumat lanjut akan dikemas kini dalam masa terdekat.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.