Tony Pua cuba rendahkan martabat raja-raja Melayu - Veteran UMNO Selangor

LocalPolitics
21 May 2026 • 5:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tony Pua cuba rendahkan martabat raja-raja Melayu - Veteran UMNO Selangor
Kamarudin (tiga dari kiri) dan Ahmad Nawawi (tiga dari kanan) bergambar bersama ahli Veteran UMNO selepas membuat laporan di IPD Shah Alam pada Khamis.

SHAH ALAM - Tindakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua Kiam Wee mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah disifatkan sebagai biadab dan cubaan untuk merendahkan martabat Sultan Selangor yang merupakan raja yang dikasihi dan dijunjung tinggi segala titah baginda oleh rakyat negeri ini.

Ketua Penerangan Veteran UMNO Selangor, Datuk Kamarudin Ahmad berkata, walaupun raja-raja Melayu raja berpelembagaan namun nilai-nilai raja kepada orang Melayu tidak pernah hilang walaupun sedikit.

"Jika raja bertitah rakyat perlu menghormatinya. Itulah yang kita panggil sebagai kedaulatan titah raja-raja Melayu.

"Malahan Menteri Besar dan Perdana Menteri akan mengadap baginda Yang Dipertuan Agong sebelum diadakan mesyuarat kabinet untuk mendapatkan titah baginda. Begitu juga Menteri Besar Selangor mengadap sultan sebelum mesyuarat exco yang mana dari situlah baginda boleh bertitah untuk Menteri Besar ambil perhatian, ertinya titah baginda dipraktikkan sebagai amalan walaupun tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis bersama Veteran UMNO Bahagian Shah Alam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada Khamis.

Media melaporkan dua hari lalu, Tony Pua berkata, semua rakyat Malaysia perlu memahami Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia dengan teliti selaras dengan sistem raja berpelembagaan yang menjadi tunjang pentadbiran negara.

Bekas Ahli Parlimen Damansara itu berkata, Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan kuasa raja berbeza sedikit mengikut negeri.

Kamarudin berkata, beliau berharap dengan penjelasan pihaknya, Tony Pua dan lain-lain pihak diingatkan untuk tidak melahirkan pandangan yang menghina martabat raja-raja Melayu dan mengundang keresahan hinggakan banyak laporan polis dibuat terhadap beliau.

Sementara itu Pengerusi Veteran UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md.Zin berkata, kenyataan Tony Pua jelas seperti tidak memahami sejarah penubuhan negara dan negeri ini.

"Kita memahami memang benar perlembagaan ini ada, namun kita perlu menerima hakikat negeri Melayu ada dahulu atau Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu diwujudkan.

"Hakikatnya negeri Melayu dan raja-raja Melayu lebih dulu wujud sebelum adanya Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan ini wujud atas perbincangan dan budi bicara serta timbal balik untuk membina sebuah negara berbilang kaum," katanya.

Jelas Ahmad Nawawi lagi, sememangnya pihaknya akur dengan Perlembagaan Persekutuan namun apa yang perlu difahami oleh semua pihak negeri ini adalah negeri berdaulat dan beraja.

Justeru beliau menegaskan, selepas wujudnya negara ini rakyat tetap menyanjung tinggi raja Melayu bukan sekadar satu simbol tetapi melambangkan adat-istiadat orang Melayu dipertahankan menerusi raja-raja yang berdaulat.

"Sehubungan dengan laporan hari ini, kita berharap pihak polis menyiasat kenyataan Tony Pua yang menyebabkan ketidakselesaan dalam kalangan orang Melayu.

"Tidak cukup dengan minta maaf sebab itu sudah biasa dilakukan, kita inginkan satu tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil terhadap beliau," tambahnya.