PUTRAJAYA – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menyifatkan Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan golongan atasan, sedangkan rakyat biasa bakal menanggung beban sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula.
Beliau turut mempersoalkan kemampuan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengendalikan sistem percukaian itu dengan lebih baik sekiranya menjadi Perdana Menteri.
Menurutnya, pengalaman pelaksanaan GST ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dijadikan peringatan khususnya berhubung isu bayaran balik cukai, kos dan inflasi.
“BN ialah parti golongan tauke, sedangkan rakyat marhaen yang membayar.
“Ingat bagaimana Najib mengendalikan isu bayaran balik, kos dan inflasi?
“Anda tidak waras jika beranggapan Zahid akan melakukan lebih baik sebagai Perdana Menteri dengan GST,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA ke-4 di Wisma MCA pada Ahad berikrar mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya gabungan itu berjaya menawan semula Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, GST merupakan sistem percukaian lebih adil dan berfokus berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan ketika ini, selain memaklumkan lebih 170 negara menggunakan sistem berkenaan.





