Town Hall Rakyat Sinar Harian bersama Tok Wan ulangi kejayaan dua siri penganjuran tahun lalu

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 1:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Town Hall Rakyat Sinar Harian bersama Tok Wan ulangi kejayaan dua siri penganjuran tahun lalu
Wan Rosdy bergambar bersama rakyat Pahang yang hadir mengikuti THR Sinar Harian di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah,Kuala Lipis pada Isnin.
Image from: Town Hall Rakyat Sinar Harian bersama Tok Wan ulangi kejayaan dua siri penganjuran tahun lalu
Suasana dalam dewan yang dipenuhi orang ramai yang hadir mengikuti THR Sinar Harian bersama Menteri Besar Pahang pada Isnin.

KUALA LIPIS – Program Town Hall Rakyat Sinar Harian bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Isnin, mengulangi kejayaan dua siri penganjurannya sebelum ini.

Sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga dewan yang mampu memuatkan kira-kira 2,000 orang itu dipenuhi pengunjung.

Wan Rosdy berkata, beliau berpuas hati dengan sambutan masyarakat pelbagai kaum yang hadir bagi menjayakan program berkenaan.

Menurutnya, program itu menjadi platform terbaik untuk beliau bersemuka dengan rakyat bagi menerangkan dasar serta hala tuju kerajaan negeri Pahang secara lebih dekat.

“Sambutan yang diterima amat baik apabila lebih 2,000 orang hadir. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya difahamkan ramai lagi yang mahu hadir, tetapi kapasiti dewan agak terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin.

Program Town Hall Rakyat Sinar Harian bersama Menteri Besar Pahang yang berlangsung hampir dua jam itu dihoskan Abu Talib Husin dan turut disiarkan secara langsung menerusi semua platform digital Sinar Harian.

Program tersebut merupakan edisi ketiga anjuran Sinar Harian dengan kerjasama Unit Komunikasi Strategik (UKS) Pahang dalam usaha menyantuni rakyat negeri itu.

Dua siri terdahulu diadakan di Karangkraf, Shah Alam pada 17 Januari 2025 dan di Kuantan pada 11 November tahun yang sama.

**media[3690368]**

Antara perkara yang dibincangkan kali ini termasuk pembangunan luar bandar dan kawasan Pahang Barat, impak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) serta kejayaan kutipan hasil negeri yang melebihi RM1 bilion selama lima tahun berturut-turut.

Turut disentuh ialah tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan, kebajikan peneroka Felda, perumahan rakyat, kebajikan masyarakat Orang Asli, bantuan kepada pelajar anak Pahang dan agenda kelestarian alam sekitar.

Pada masa sama, Wan Rosdy turut menjawab pelbagai soalan serta mendengar cadangan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, golongan belia dan pemimpin akar umbi.

Menurutnya, semua soalan, pandangan dan cadangan yang dikemukakan rakyat sepanjang program itu akan diberikan perhatian serta dipertimbangkan sewajarnya.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan cadangan berkenaan bergantung kepada hasil penelitian dan kedudukan kewangan kerajaan negeri.

“Semua soalan dan cadangan yang dikemukakan rakyat akan kita beri pertimbangan. Jika boleh dilaksanakan dan kedudukan kewangan mengizinkan, kita akan laksanakannya. Semuanya demi rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, penyertaannya dalam program itu merupakan kali ketiga selepas siri terdahulu di Shah Alam dan Kuantan.

Menurutnya, program seumpama itu diharap dapat diteruskan bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat berinteraksi secara langsung dengan kerajaan negeri.

“Kita akan adakan program ini di tempat-tempat lain pula, namun bukan dalam masa terdekat. Harapnya program ini dapat diteruskan dan dibawa ke seluruh daerah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan tempoh dua jam bagi program berkenaan agak singkat memandangkan masih banyak perkara yang ingin dikongsikan bersama rakyat.

Katanya, terdapat pelbagai isu yang ingin dihuraikan dengan lebih terperinci, namun kekangan masa menyebabkan hanya perkara utama dapat disentuh sepanjang program berlangsung.

“Saya sangat berpuas hati. Dua jam pun terasa seperti 40 minit. Banyak lagi yang ingin dihuraikan, tetapi tidak sempat. Jadi, kita beri tumpuan kepada perkara yang paling penting,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved