amree19/10/2026 - 17:35 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt – Toyo Ventures Holdings Berhad menerima cadangan daripada pemegang saham utamanya, Eng Lian (L) Inc dan Bukit Asa Sdn Bhd, untuk menswastakan syarikat itu melalui pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik tunai (SCR) pada harga 28 sen sesaham.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, cadangan itu melibatkan pembayaran tunai kepada pemegang saham yang layak, kecuali pihak ditetapkan sebagai pemegang saham tidak layak, termasuk kedua-dua pembida bersama, Eng Lian Enterprise Sdn Bhd, Dr Ng Lu Siong dan Yvonne Po Leng Lam.
Eng Lian Enterprise merupakan pembida utama muktamad berikutan kedudukannya sebagai pemegang saham pengawal kepada Eng Lian (L) dan Bukit Asa. Lembaga pengarah Toyo Ventures akan meneliti cadangan berkenaan, dengan pengarah berkepentingan, Ng Jing-Yi dikecualikan daripada perbincangan.
"Berdasarkan surat cadangan bertarikh 19 Oktober 2026, Toyo Ventures mempunyai 165.90 juta saham terbitan setakat 13 Oktober 2026. Pemegang saham yang layak memegang sejumlah 144.64 juta saham, bersamaan kira-kira 87.2% daripada keseluruhan saham terbitan syarikat," kata kumpulan itu.
Harga tawaran itu mewakili premium 16.67% berbanding harga penutup saham sebanyak RM0.24 pada 16 Oktober 2026. Ia turut menawarkan premium antara 13.82% hingga 22.32% berbanding purata harga pasaran wajaran volum bagi tempoh lima hari hingga tiga bulan, serta tempoh enam bulan dan setahun.
Tambahnya Toyo Ventures, cadangan tersebut juga mengambil kira aset bersih disatukan kumpulan itu yang belum diaudit sebanyak kira-kira 30 sen sesaham pada 30 Jun 2026, menjadikan harga tawaran bersamaan kira-kira 0.93 kali nisbah harga kepada nilai buku.

Pembiayaan bagi pelaksanaan SCR dicadangkan melalui gabungan dana dijana secara dalaman, kemudahan pembiayaan yang diperoleh atau pendahuluan daripada Eng Lian Enterprise. Pembida bersama dan utama muktamad turut mengesahkan setiap pemegang saham yang layak akan dibayar penuh secara tunai.
Toyo Ventures sebelum ini terlibat dalam pembuatan dakwat percetakan dan bahan pewarna serta penyediaan rumusan kejuruteraan tepat. Prestasi kumpulan berkenaan terjejas selepas projek loji janakuasa terma Song Hau 2 di Vietnam ditamatkan pihak berkuasa pada 2024.
"Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2026, kumpulan ini kembali mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM4.19 juta berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) RM455.46 juta dalam tempoh kewangan sebelumnya," kata syarikat tersebut.
Bagaimanapun, surat cadangan menyatakan perniagaan teras kumpulan dijangka terus berdepan cabaran, termasuk persaingan harga, turun naik kos bahan mentah dan kadar pertukaran asing serta ketidaktentuan ekonomi global.
Menurut pembida bersama, penswastaan itu bertujuan memberi kumpulan lebih fleksibiliti untuk menumpukan sumber kepada perniagaan teras, di samping mengurangkan kos dan keperluan pentadbiran berkaitan status penyenaraian.
Ujarnya, jika dapat diselesaikan, semua saham pemegang saham yang layak akan dibatalkan dan Toyo Ventures bercadang memohon untuk dinyahsenaraikan daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Cadangan SCR masih tertakluk kepada pertimbangan lembaga pengarah tidak berkepentingan, kelulusan pemegang saham tidak berkepentingan melalui resolusi khas, perintah Mahkamah Tinggi Malaya serta kelulusan atau persetujuan lain yang diperlukan.
Sekiranya semua syarat dipenuhi, pembayaran kepada pemegang saham yang layak dijadualkan dibuat secepat mungkin dan dalam tempoh 10 hari selepas tarikh kuat kuasa pelaksanaan tersebut. - DagangNews.com






