amree23/09/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept — Pengendali platform elektronik terpakai, 3cat Sdn Bhd meraih dana AS$4 juta (RM16.8 juta) daripada Foxmont Capital Partners, Asian Development Bank (ADB) dan Golden Gate Ventures bagi membiayai pengembangan ke Asia Tenggara.
Pusingan pendanaan menerusi Siri A itu sekali gus memberikan sokongan kewangan serta rangkaian strategik bagi syarikat tempatan tersebut dapat mengembangkan model perniagaan peranti terpakai yang sudah lama dibangunkan di Malaysia.
Menurut kenyataannya, dana berkenaan akan digunakan untuk menyokong kemasukan 3cat ke Filipina sebagai pasaran antarabangsa pertama, sebelum syarikat meneruskan hasrat memperluas operasinya ke beberapa pasaran lain di Asia Tenggara.
"Usaha ini hadir ketika peningkatan kos komponen memberi tekanan tinggi kepada harga telefon pintar baharu, dan membuka ruang kepada peranti terpakai berkualiti sebagai pilihan pengguna yang mencari teknologi pada harga mampu milik," katanya.
Ditubuhkan pada 2023, 3cat kini berkembang daripada perniagaan dalam talian kepada rangkaian lebih 20 kedai di seluruh Malaysia, dengan model yang menggabungkan jualan fizikal dan dalam talian, pembiayaan, waranti serta sokongan selepas jualan.

Syarikat itu menyatakan, kekuatan model perniagaannya terletak pada usaha menangani isu kepercayaan pengguna terhadap peranti terpakai melalui pemeriksaan kualiti, waranti 12 bulan dan polisi pemulangan, selain pengalaman pembelian.
Bagi pasaran Filipina ujarnya, 3cat melihat potensi besar berdasarkan populasi negara itu melebihi 110 juta penduduk, serta demografi yang muda dengan merekodkan jualan 18.4 juta telefon pintar pada 2025, hampir dua kali ganda saiz pasaran Malaysia.
"Harga telefon pintar baharu di Filipina kini mencecah dua kali ganda pendapatan bulanan median penduduk negara itu, menjadikan peranti terpakai berkualiti pada harga lebih rendah sebagai peluang pasaran yang semakin relevan," jelasnya lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama 3cat, Karl Loo berkata, pengalaman syarikat itu di Malaysia menunjukkan kepercayaan pengguna menjadi elemen penting untuk menjadikan kategori elektronik terpakai sebagai pilihan arus perdana.

Sementara itu, Foxmont Capital Partners berkata, 3cat mempunyai model boleh dikembangkan, dengan pendekatan yang menggabungkan peranti diperbaharui, waranti dan pengalaman runcit bagi meningkatkan akses pengguna kepada teknologi berkualiti.
Dalam pada itu, ADB pula menambah, penyertaannya mencerminkan keyakinan terhadap potensi model 3cat untuk menggalakkan penggunaan ekonomi kitaran serta melanjutkan jangka hayat peranti, selain membantu pengguna mengurangkan sisa elektronik.
"Selain pelaburan dalam Siri A, ADB turut memberi peluang tawaran untuk menyediakan sehingga AS$2.8 juta (RM11.39 juta) dalam pusingan pendanaan 3cat yang akan datang bagi perluasan operasi syarikat ke negara-negara lain," tambahnya.
3cat, yang bermula sebagai sebuah kedai produk Apple terpakai di Kuala Lumpur, kini menawarkan peranti elektronik pada harga sehingga 60% lebih rendah berbanding peranti baharu, disokong waranti selama 12 bulan. - DagangNews.com






