Kedudukan tunai Plenitude naik 36% kepada RM570 juta bagi FY26, cadang dividen 6 sen sesaham

Business & FinanceProperty
8 Oct 2026 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kedudukan tunai Plenitude naik 36% kepada RM570 juta bagi FY26, cadang dividen 6 sen sesaham Image from: Kedudukan tunai Plenitude naik 36% kepada RM570 juta bagi FY26, cadang dividen 6 sen sesaham amree08/10/2026 - 15:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Okt — Plenitude Berhad menutup tahun kewangan 2026 dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh apabila simpanan tunai dan deposit tetap melonjak 32% kepada RM570.2 juta, membolehkan kumpulan mencadangkan dividen akhir 6 sen sesaham kepada pemegang saham.

 

Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26), kumpulan pembangunan hartanah dan perhotelan itu mencatat hasil RM632.7 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 5.3% kepada RM157.2 juta.

 

Peningkatan tunai dan deposit tetap berkenaan juga adalah ketara berbanding hanya RM419.2 juta dicatatkan pada FY25, menunjukkan kedudukan kecairan yang lebih kukuh meskipun kumpulan berdepan cabaran geopolitik di Timur Tengah serta peningkatan kos operasi.

 

"Prestasi kumpulan ini terus dipacu menerusi segmen pembangunan hartanah yang menyumbang RM372.7 juta atau 59% daripada keseluruhan pendapatan," jelas kenyataan Plenitude menerusi Laporan Tahunan 2026 dan Laporan Urus Tadbir Korporat 2026.

 

Segmen berkenaan disokong peningkatan jualan hartanah kepada sebanyak RM438.9 juta berbanding hanya RM372.3 juta pada FY25, dengan perbandaran Taman Desa Tebrau di Johor Bahru, Johor menjadi penyumbang paling besar kira-kira 52% daripada hasil segmen hartanah.

 

Ia diikuti Impian Hills di Ulu Tiram (35%) dengan prestasi di Johor terus meraih manfaat permintaan terhadap kediaman dan komersial serta pemangkin seperti Projek Laluan Sistem Transit Cepat (RTS Link) Johor Bahru-Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Plenitude_DagangNews2026

 

Sementara itu jelas Plenitude, segmen perhotelan pula berjaya menyumbang RM253.7 juta atau kira-kira 40% kepada hasil kumpulan, manakala PBT segmen tersebut meningkat kepada sebanyak RM40.4 juta berbanding hanya  RM32.6 juta diperoleh setahun sebelumnya.

 

"Peningkatan prestasi perhotelan turut didorong perkembangan pemulihan margin operasi, kecekapan kos serta portfolio rangkaian hotel diuruskan kumpulan ini di seluruh Malaysia, Korea Selatan dan Jepun," tambah kenyataan berkenaan lagi.

 

Dari segi geografi pula katanya, Pulau Pinang merupakan penyumbang paling besar kepada pendapatan segmen perhotelan dengan mencecah kira-kira 30%, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 23%, Seoul (21%), Langkawi (14%), Ipoh (7%) dan Osaka (5%).

 

Susulan prestasi kewangan tersebut, Lembaga Pengarah Plenitude mengesyorkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 6 sen sesaham berjumlah RM22.89 juta, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung akan datang.

 

Melangkah ke FY27, kumpulan itu yang kini diterajui Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Ng Yoon Thai kekal optimis terhadap prospek, dengan memanfaatkan simpanan tanah seluas 389 hektar serta potensi pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Kajang, Selangor. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved