Tradewinds, Tanmiah jalin kerjasama teroka platform protein halal serantau

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2026 • 8:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tradewinds, Tanmiah jalin kerjasama teroka platform protein halal serantau

KUALA LUMPUR: Tradewinds (M) Berhad (TWM) menjalin kerjasama dengan pengeluar makanan dan ayam bersepadu terkemuka dari Arab Saudi, Tanmiah Food Company (Tanmiah), bagi meneroka pembangunan platform protein halal serantau.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang turut membuka peluang kepada pembangunan, pemprosesan, penjenamaan dan pengedaran produk protein halal di Malaysia serta rantau Asia-Pasifik (APAC).

Ketua Pembangunan Perniagaan TWM, Farhan Hafetz berkata, kerjasama berkenaan menggabungkan kepakaran teknikal dan keupayaan pengeluaran Tanmiah dengan kehadiran pasaran, rangkaian komersial serta keupayaan perdagangan serantau TWM di Malaysia.

Beliau berkata, kerjasama itu turut mewujudkan rangka kerja bagi menilai potensi Malaysia sebagai platform serantau untuk pengeluaran, pemprosesan dan eksport protein halal.

“MoU ini berkenaan eksplorasi perniagaan ayam atau protein, di mana kita akan teroka untuk membawa masuk ayam dan teknologi daripada Arab Saudi, untuk memperkembangkan lagi perniagaan terutama di Malaysia termasuk membuka kilang dan menarik pelaburan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026.

Mengulas lanjut, Farhan berkata, kerjasama dengan Tanmiah itu juga merupakan langkah pertama TWM untuk meneroka pasaran baharu dalam segmen protein.

“Selama ini TMW lebih kepada produk-produk komuniti seperti beras, gula, tepung, roti, minyak masak dan sebagainya.

“Jadi ini adalah kolaborasi pertama untuk memasuki pasaran baharu iaitu pasaran protein,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perbezaan cita rasa dan pilihan bahagian ayam antara pengguna Arab Saudi dan Malaysia turut membuka ruang kepada TWM untuk meneroka potensi pasaran berkenaan.

“Di Arab Saudi, mereka lebih gembar kepada dada ayam, tetapi rakyat Malaysia pula, kita lebih kepada bahagian peha dan betis. Jadi ini sesuai untuk memasuki negara kira kerana pengguna kita gemarkan bahagian yang mereka tidak gemar.

“Ayam daripada Arab Saudi juga mempunyai rasa yang berbeza, kita juga akan meneroka produk-produk beku seperti ayam yang sudah diproses iaitu nuget dan sebagainya, untuk memberi citarasa baharu kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN

The post Tradewinds, Tanmiah jalin kerjasama teroka platform protein halal serantau appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved