PASIR MAS – Seorang remaja lelaki maut dalam keadaan tragis dengan lengan kanan terputus selepas motosikal ditunggangnya bertambung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Lubok Gong–Jeram Perdah, Jalan Rantau Panjang Lama di sini pada raya Aidiladha pertama, Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Muhammad Luqman Zurul Azli, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
ARTIKEL BERKAITAN: Maut putus lengan: Dua pasangan pengantin batal hasrat bersanding
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menerima maklumat awal berhubung kejadian daripada bilik gerakan IPD Pasir Mas.
Menurut beliau, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dan sebuah kereta Honda Jazz dipandu seorang lelaki.
**media[3535058]**
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menunggang motosikal dalam keadaan agak laju sebelum hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama, kereta yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat menyebabkan motosikal mangsa bergesel dengan bahagian hadapan sebelah kanan kereta berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, selain lengan putus, mangsa juga mengalami kecederaan parah termasuk di beberapa bahagian badan akibat perlanggaran itu.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau tidak cermat sehingga menyebabkan kematian dan siasatan lanjut masih dijalankan.





