KUALA LUMPUR - Kerajaan diarah menggembleng segala usaha diperlukan bagi mengesan 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan kejadian banjir kilat besar di daerah Rasuwa, Nepal.
Mengarahkan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat dukacita dengan kemusnahan besar yang berpunca daripada bencana berkenaan.
Anwar berkata, beliau turut bimbang akan nasib rakyat Malaysia yang sehingga kini masih belum diketahui keberadaan mereka.
“Saya turut amat terkesan apabila dimaklumkan Kementerian Luar bahawa seramai 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi setakat ini.
“Usaha untuk mengesan mereka serta mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan masing-masing sedang giat dijalankan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut beliau, Kedutaan Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal serta agensi berkaitan bagi mengesan kesemua rakyat Malaysia terbabit dan mendapatkan maklumat mengenai keadaan mereka.
Pada masa sama katanya, pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh turut digerakkan bagi memperkukuh penyelarasan usaha di lapangan.
“Kerajaan MADANI melalui Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapat dan menggembleng segala usaha yang diperlukan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang terjejas kekal menjadi keutamaan,” katanya.
Anwar turut menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama mendoakan keselamatan mereka yang masih belum dapat dihubungi, selain berharap operasi mencari dan menyelamat dapat dilaksanakan dengan lancar.
"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama berdoa supaya kesemua mereka dapat ditemukan dalam keadaan selamat dalam masa terdekat dan segala usaha mencari serta menyelamat dipermudahkan.
“Insya-Allah,” katanya.
Banjir besar dan kejadian tanah runtuh yang melanda Rasuwa menyebabkan kemusnahan teruk terhadap jalan raya, jambatan serta pelbagai infrastruktur lain.
Keadaan itu turut menyukarkan akses ke kawasan terjejas, sekali gus merumitkan usaha pihak berkuasa untuk mengesan serta menghubungi individu yang terperangkap atau terjejas akibat bencana berkenaan.
Kerajaan akan terus memantau perkembangan situasi itu secara dekat, sementara pasukan penyelamat dan pegawai diplomatik Malaysia meneruskan usaha bagi mengesan keberadaan 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi. - Getaran, 27 Ogos 2026





