Banjir Nepal: Agong gesa bantuan untuk rakyat Malaysia terjejas

27 Aug 2026 • 2:58 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Banjir Nepal: Agong gesa bantuan untuk rakyat Malaysia terjejas

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim gesa Wisma Putra ambil tindakan sewajarnya bantu 55 rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dihubungi di Nepal.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menggesa Wisma Putra mengambil segala tindakan sewajarnya berhubung rakyat Malaysia yang terjejas susulan kejadian banjir besar di Rasuwa, Nepal.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda menitahkan supaya maklumat terkini mengenai keselamatan dan keberadaan mereka disalurkan kepada ahli keluarga masing-masing.

“Saya mengikuti perkembangan tragedi ini sejak ia dilaporkan berlaku semalam apabila melibatkan rakyat Malaysia.

“Saya juga menggesa Wisma Putra mengambil segala tindakan yang sewajarnya termasuk dalam menyalurkan maklumat terkini kepada ahli keluarga masing-masing mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia yang terlibat,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim turut mendoakan agar segala usaha menyelamat dan membawa keluar rakyat Malaysia yang terjejas dapat dilaksanakan dengan lancar.

Menurut hantaran itu, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan rasa prihatin serta mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat dalam bencana itu.

“Seri Paduka Baginda berdua menitipkan doa berharap semua mangsa berada dalam keadaan selamat serta dipermudahkan segala urusan sepanjang menghadapi situasi berkenaan,” menurut hantaran itu.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan banjir besar yang melanda daerah Rasuwa, semalam.

Menurut Wisma Putra, angka itu diperoleh berdasarkan maklumat terbaharu daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain berkaitan.

Media antarabangsa melaporkan angka korban akibat banjir yang melanda perkampungan dan laluan pendakian di kawasan sempadan Nepal-China itu meningkat kepada 162 orang, manakala ratusan lagi masih hilang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved