Tragedi dipanah petir: Mangsa merupakan dua beradik dan sepupu, sering habiskan masa bersama

9 Nov 2026 • 10:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tragedi dipanah petir: Mangsa merupakan dua beradik dan sepupu, sering habiskan masa bersama
Tiga lelaki maut dipercayai akibat disambar petir di Bandar Baru Salak Tinggi pada Isnin.

PUTRAJAYA - Tiga lelaki yang maut disambar petir di Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang dekat sini pada Isnin, sangat akrab dan sentiasa meluangkan masa terutama melibatkan hobi dan aktiviti.

Seorang ahli keluarga mangsa, Haris Salleh Kurais, 42, berkata, ketiga-tiganya juga sering pergi ke mana-mana bersama-sama.

"Ya memang rapat. Kalau pergi ke mana sahaja mereka pasti bersama-sama. Contoh, kalau mahu baiki motosikal, seorang akan ikut,” katanya kepada pemberita di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada Isnin.

Ketiga-tiga yang maut dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu ialah dua beradik iaitu Mohamad Ahzam Marusin, 16, dan abangnya, Mohd Sahrif, 26, serta sepupu mereka, Mohammad Safwan Aksan, 18.

Haris Salleh berkata, dia menerima panggilan berkaitan insiden itu kira-kira jam 4.30 petang dan sememangnya terkejut atas kejadian menimpa mangsa.

"Kali terakhir saya jumpa mereka dua hari lepas, semasa pergi ke pantai. Saya memang rapat dengan mereka,” katanya.

Mengenai urusan pengebumian, Haris Salleh berkata, jenazah ketiga-tiganya akan dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Semporna, Sabah selepas proses bedah siasat selesai.

Tinjauan Bernama di hospital berkenaan mendapati ahli keluarga mula berkumpul sejak jam 8 malam bagi mengikuti proses bedah siasat.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, tiga lelaki maut dipercayai akibat disambar petir ketika berteduh di bawah sebatang pokok di kawasan Bandar Baru Salak Tinggi.

Tular beberapa video memaparkan tiga individu dipercayai kesemuanya lelaki terbaring dan telah meninggal dunia akibat disambar petir ketika kejadian hujan lebat pada Isnin. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved