Jasad Muhamad Arif ditemui berhampiran Pulau Upeh

3 Sep 2026 • 10:40 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jasad Muhamad Arif ditemui berhampiran Pulau Upeh

MELAKA – Jasad Muhamad Arif Daniel Nizamuddin, 16, yang dikhuatiri lemas ketika mandi-manda bersama rakannya di pantai berhampiran Prima Klebang, di sini, semalam ditemukan malam tadi.

Jasad mangsa ditemui oleh seorang nelayan kira-kira pukul 7.20 malam berhampiran Pulau Upeh, pada jarak lebih kurang dua batu nautika dari daratan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd. Shahrom Laji berkata, pengecaman mayat telah dilakukan oleh waris kira-kira pukul 8.30 malam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi SAR diketuai Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II Zahrul Azha Mokhtar dilaksanakan selepas bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.03 petang, semalam.

Katanya, seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dan BBP Masjid Tanah terlibat dalam operasi berkenaan termasuk anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pasukan PPDA menjalankan pencarian sebanyak dua kali menggunakan kaedah solo dive serta teknik pencarian arc pattern sehingga jarak 30 meter dari persisiran pantai.

“Pasukan bomba turut meneruskan pencarian di celah-celah batu di kawasan persisiran pantai sebelum jasad mangsa akhirnya ditemukan oleh seorang nelayan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di pantai berhampiran Prima Klebang.

Rakannya, Hakeem Putra Mahadi, 18, berkata, mereka yang sudah berkawan sejak tingkatan satu datang ke lokasi berkenaan kira-kira pukul 3 petang untuk meluangkan masa bersama.

“Kami kemudian mandi-manda sebelum keadaan bertukar cemas apabila Muhamad Arif tiba-tiba dilihat mengalami kesukaran sebelum hilang daripada pandangan.

“Saya cuba selamatkan dia, namun tidak berjaya sebelum segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Hakeem turut memberitahu Muhamad Arif pernah mengatakan kepadanya bahawa dia tidak boleh berenang, namun bapanya pula pernah memberitahu bahawa anaknya itu boleh berenang.- KOSMO! ONLINE

The post Jasad Muhamad Arif ditemui berhampiran Pulau Upeh appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved