Nepal gantung operasi SAR, cuaca buruk

29 Aug 2026 • 7:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nepal gantung operasi SAR, cuaca buruk

KUALA LUMPUR – Nepal menggantung operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini berikutan cuaca buruk dan memaklumkan negara itu memerlukan bantuan teknikal asing untuk menangani banjir yang membawa kemusnahan di kawasan bersempadan dengan Tibet, lapor Reuters.

Negara miskin di kawasan Himalaya yang mempunyai 30 juta penduduk itu juga memerlukan AS$4 bilion hingga AS$5 bilion untuk pembinaan semula susulan kemusnahan akibat banjir Rabu lalu, menurut Menteri Kewangannya.

Dicetuskan oleh runtuhan glasier, aliran deras yang membawa batu, ais, lumpur dan puing meluru melalui sistem sungai di kawasan pergunungan pada Rabu lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 626 orang di Nepal dan tujuh di Tibet, China, selain menghanyutkan bangunan, jambatan dan stesen janakuasa.

Hampir 3,000 orang masih hilang, iaitu 2,426 di Nepal dan 554 di Daerah Gyirong, Tibet termasuk sekurang-kurangnya 540 warga asing, kebanyakannya penziarah Hindu dari India.

“Operasi SAR dihentikan sementara kerana hujan dan cuaca berkabus,” kata pegawai kanan pentadbiran bagi Daerah Rasuwa yang terjejas teruk, Narendra Pariyar kepada Reuters.

Tumpuan kini diberikan kepada usaha menyediakan pengangkutan darat untuk membawa penziarah yang diselamatkan ke ibu negara, Kathmandu.

Pihak berkuasa turut menggantung sementara operasi SAR semalam apabila sebuah tasik yang terbentuk di kawasan sempadan Nepal-China selepas banjir mula melimpah ke Sungai Lhende Khola dan Trishuli di Nepal.

Imej satelit menunjukkan air tasik itu mengalir keluar secara perlahan-lahan, sekali gus mengurangkan takungan secara beransur-ansur, lapor penyiar negara CCTV. Tasik itu merupakan satu daripada dua tasik di hulu kawasan banjir yang sedang dipantau Nepal. – BERNAMA

The post Nepal gantung operasi SAR, cuaca buruk appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved