Tragedi Nepal: Wisma Putra Sahkan 72 Rakyat Malaysia Selamat, 91 Masih Belum Dapat Dikesan

29 Aug 2026 • 8:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tragedi Nepal: Wisma Putra Sahkan 72 Rakyat Malaysia Selamat, 91 Masih Belum Dapat Dikesan

KUALA LUMPUR - Seramai 72 rakyat Malaysia terkandas di Darchen, Tibet, China, susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal disahkan selamat, namun usaha masih diteruskan bagi mengesan 91 lagi rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Kementerian Luar berkata, tindakan susulan konsular kini turut diperluaskan ke kawasan di China yang terjejas akibat gangguan perjalanan susulan bencana berkenaan, selain tumpuan lkepada rakyat Malaysia di Nepal.

Menurut jurucakap kementerian itu, kesemua 72 rakyat Malaysia yang berada di Darchen, Wilayah Autonomi Tibet, dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Kedutaan Besar Malaysia di Beijing kini berhubung secara langsung dengan kumpulan berkenaan, selain memastikan perkembangan terkini mengenai keselamatan mereka disampaikan kepada ahli keluarga di Malaysia.

Kedutaan itu juga sedang membantu mengatur perjalanan keluar kumpulan terbabit dari wilayah berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Wisma Putra berkata, pihaknya turut menerima maklumat daripada pihak berkuasa China serta ahli keluarga mengenai 36 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi di beberapa kawasan kerana mengalami gangguan telekomunikasi.

Usaha sedang dijalankan bersama pihak berkuasa China dan keluarga masing-masing bagi mendapatkan semula hubungan dengan mereka.

Pada masa sama, kementerian sedang membuat semakan silang bagi memastikan nama dilaporkan di China tidak bertindih dengan senarai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan di Nepal.

Di Nepal, jumlah rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi menurun kepada 55 berbanding 57 sebelumnya, selepas dua lagi rakyat Malaysia berjaya dihubungi.

Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu terus bekerjasama dengan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Nepal, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha mengesan mereka yang masih belum dapat dihubungi.

Jika digabungkan, sebanyak 91 rakyat Malaysia di Nepal dan China masih belum dapat dihubungi, walaupun proses pengesahan dan semakan kes masih berlangsung.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat di Nepal masih diteruskan, dengan pihak berkuasa turut meningkatkan pemantauan terhadap kemungkinan berlaku aliran air deras susulan risiko limpahan dari Wilayah Autonomi Tibet.

Sehingga jam 5 petang waktu tempatan pada 28 Ogos (7.15 malam waktu Malaysia), Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Kebangsaan Nepal melaporkan seramai 771 mangsa telah diselamatkan, termasuk 116 warga asing.

Namun, berdasarkan senarai rasmi dikeluarkan ketika itu, tiada rakyat Malaysia disenaraikan sebagai antara warga asing yang telah diselamatkan.

Polis Nepal dalam buletin terbaharunya pagi tadi pula melaporkan angka korban meningkat kepada 616 orang, manakala hampir 1,924 lagi masih hilang di seluruh negara.

Bencana itu berlaku pada 26 Ogos susulan limpahan tasik glasier yang mencetuskan banjir besar dan banjir kilat di sepanjang lembah Sungai Bhote Koshi.

Dalam usaha menyelaras bantuan dan perkembangan terkini, Bilik Gerakan Wisma Putra di Putrajaya beroperasi 24 jam sejak 27 Ogos bagi menguruskan maklumat serta membantu rakyat Malaysia yang terjejas dan keluarga mereka.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Wisma Putra di +603 8887 4570 atau menerusi e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

Wisma Putra turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan. - Getaran, 29 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved