
SUNGAI PETANI - Mayat seorang wanita tanpa pakaian ditemukan terapung di sebatang sungai berhampiran Pekan Lama, di sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mayat wanita berkenaan ditemukan orang awam yang melalui kawasan itu dalam keadaan terlentang.
Menurutnya, identiti dan keturunan mangsa masih belum dikenal pasti setakat ini.
"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai ahli keluarga dilaporkan hilang diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, keadaan mayat yang sudah mereput menyukarkan pihak polis untuk mengesahkan kewarganegaraan mangsa.
“Ia juga menyukarkan polis mengenal pasti sama ada terdapat sebarang kecederaan pada tubuhnya,” katanya. - Getaran, 12 November 2026






