SHAH ALAM – Kerugian akibat banjir yang dicatatkan di Selangor menunjukkan peningkatan ketara, walaupun secara keseluruhan di peringkat negara merekodkan penurunan.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, trend itu memberi isyarat jelas Selangor masih berdepan kelemahan serius dalam aspek pengurusan, mitigasi dan pelaksanaan dasar berkaitan banjir.
Menurutnya, data menunjukkan kerugian banjir di Selangor meningkat daripada RM22.6 juta pada 2024 kepada RM52.9 juta pada tahun lalu sekali gus mencerminkan beban yang semakin ditanggung rakyat.
"Peningkatan ini melibatkan pelbagai sektor termasuk kediaman, pertanian serta aset awam dan infrastruktur.
"Ini bukan sekadar angka, tetapi realiti yang menjejaskan kehidupan harian rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohamed Sukri memberitahu, keadaan itu membuktikan isu banjir di Selangor tidak lagi boleh dianggap sebagai masalah bermusim, sebaliknya sudah menjadi krisis berulang yang memerlukan tindakan lebih tegas dan berkesan.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan keberkesanan pelaksanaan projek tebatan banjir walaupun Belanjawan Selangor pada tahun ini memperuntukkan RM54.34 juta bagi 17 projek berkaitan.
"Rakyat menilai berdasarkan hasil di lapangan, bukan sekadar jumlah peruntukan. Jika banjir terus berulang dan kerugian meningkat, maka pendekatan sedia ada perlu dinilai semula,” katanya.
Mohamed Sukri berkata, kewujudan ratusan hotspot banjir di negeri itu menuntut pendekatan baharu yang lebih menyeluruh, strategik dan berpandangan jauh.
Beliau turut menyokong titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menggesa agar model pengurusan banjir negara Belanda dijadikan rujukan dalam usaha memperkukuh sistem tebatan banjir di Selangor.
"Sudah tiba masanya kerajaan negeri keluar daripada pendekatan lama dan melaksanakan pembaharuan dasar yang benar-benar memberi kesan kepada rakyat,” katanya.
Tegasnya, kegagalan menangani isu banjir secara tuntas bukan sahaja menjejaskan ekonomi negeri, malah memberi tekanan berterusan kepada rakyat yang terpaksa menanggung kerugian saban tahun.






