
WASHINGTON: Bekalan peluru berpandu dan kelengkapan ketenteraan berketepatan tinggi Amerika Syarikat (AS) dilaporkan susut mendadak hanya selepas beberapa bulan berperang dengan Iran.
Ia sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kemampuan sebenar Washington melaksanakan ancaman Presiden AS, Donald Trump, untuk melancarkan serangan terbesar terhadap republik Islam itu.
Menurut Reuters yang memetik dua sumber, AS sudah menggunakan hampir keseluruhan bekalan Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera Darat (ATACMS) dan Peluru Berpandu Serangan Tepat (PrSM) sepanjang konflik tersebut.
Peluru berpandu jarak jauh itu merupakan antara aset paling penting dalam senjata AS kerana membolehkan sasaran diserang dengan tepat dari jarak jauh tanpa perlu bergantung kepada pesawat pejuang yang lebih terdedah kepada sistem pertahanan udara.
Reuters melaporkan, Markas Pusat AS (CENTCOM), yang menyelia operasi ketenteraan AS di Asia Barat, terpaksa menambah semula stok peluru berpandu permukaan ke permukaan dengan mengambil bekalan dari medan operasi lain.
Situasi itu turut mendorong Pentagon mendapatkan pandangan pakar strategi serta bekas pegawai tentera bagi menilai pilihan terbaik untuk berdepan Iran jika konflik berlanjutan.
“Kami sedang mencari pendekatan baharu yang kreatif dan luar kebiasaan untuk memberi tekanan serta menghukum Iran,” menurut emel seorang pegawai di bahagian risikan CENTCOM yang dipetik CNN.
Di sebalik ancaman Trump untuk terus meningkatkan tekanan ketenteraan, beberapa perkembangan menunjukkan Presiden AS itu kini semakin terdesak mencapai perjanjian dengan Teheran bagi menamatkan konflik.
Pada masa sama, Trump turut dilihat berusaha memastikan sebarang penyelesaian dicapai tanpa menjejaskan imejnya sebagai pemimpin yang enggan dilihat ‘tunduk’ kepada Iran.
Pentadbiran Trump sebelum ini berulang kali mendakwa sistem pertahanan udara Iran sudah dimusnahkan sepenuhnya.
Bagaimanapun, Middle East Eye bersama beberapa media lain melaporkan Iran sudah menerima sistem pertahanan udara baharu daripada China dan Russia.
Perang antara AS, Israel dan Iran bermula pada 28 Februari apabila Washington serta Tel Aviv melancarkan serangan ke atas Iran. Walaupun gencatan senjata dimeterai pada Jun menerusi memorandum persefahaman (MoU) Islamabad, pertempuran kembali tercetus sepanjang musim panas.
The post Trump semakin terdesak AS kehabisan peluru berpandu appeared first on Utusan Malaysia.






